KEDIAMAN konsep industri mendedahkan keunikan bahan binaan dalam rumah.
KEDIAMAN konsep industri mendedahkan keunikan bahan binaan dalam rumah.
Hafiz Ithnin


TIDAK dinafikan untuk menghias ruang dalaman rumah adalah sesuatu yang penting untuk si pemilik kerana ia mampu memberi aura tersendiri.

Bagi golongan yang gemarkan gaya hiasan minimalis sebenarnya konsep industri kediaman bukan sesuatu yang baharu.

Malah, ia banyak diterapkan dalam gaya hiasan dalaman bagi kafe yang sebenarnya mampu kelihatan unik dan lebih santai.

Ada juga pemilik yang memilih konsep industri sebagai hiasan dalaman rumah masing-masing kerana pelbagai faktor antaranya lebih ringkas dan mudah untuk dipadankan dengan pelbagai jenis aksesori.

Dalam ruangan Dekotaman kali ini kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh anda praktikkan jika ingin menerapkan konsep industri dalam rumah anda.

PEMILIHAN lampu hiasan seperti mentol unik mampu mengangkat rumah jenis industri.
PEMILIHAN lampu hiasan seperti mentol unik mampu mengangkat rumah jenis industri.

1. Memahami konsep industri

Sebelum anda membeli pelbagai barangan keperluan rumah yang dilihat mungkin sesuai untuk konsep berkenaan, perlu diingatkan membuat sedikit rujukan mengenai konsep itu sendiri.

Konsep kediaman industri secara umumnya hiasan dalaman yang mendedahkan elemen binaan dalam rumah itu sendiri seperti paip, batu bata dan konkrit. Malah, falsafah minimalis amat dititikberatkan dalam konsep industri.

2. Lantai simen

Pemilihan lantai untuk konsep industri amat penting kerana ia mampu memberi kesan kepada keseluruhan rumah.

Konsep industri tidak memerlukan anda memasang perhiasan lantai lain seperti kayu atau jubin.

Dedahkan lantai simen anda. Ketika ini ada teknologi atau cara pembuatan lantai simen yang mempunyai pelbagai corak unik.

Antaranya anda boleh menjadikan lantai simen berkilat dengan mempunyai corak bercapuk yang sebenarnya cantik dan sesuai dengan konsep berkenaan.

LANTAI simen berkilat boleh dicipta untuk rumah jenis industri.
LANTAI simen berkilat boleh dicipta untuk rumah jenis industri.

3. Pemilihan kontraktor atau pereka dalaman

Jika anda bercadang memilih konsep ini pastikan anda mempunyai kontraktor yang berpengalaman membuat rumah atau kafe ala industri.

Sila semak latar belakang atau projek yang pernah dilakukan kontraktor atau pereka dalaman berkenaan supaya hasil yang disiapkan kelak tidak akan mengecewakan anda.

Perkara ini penting supaya mereka memahami bahan yang sesuai untuk digunakan ketika membuat kerja pengubahsuaian yang mampu mengangkat konsep itu.

Memandangkan bahan pembinaan yang terdedah dalam rumah menjadi asas dalam konsep ini, kontraktor tahu cara memastikan bagi penghuni rumah selamat.

Contohnya, pembuatan lantai simen yang tidak mampu mengeluarkan habuk atau terlalu licin untuk si penghuni rumah.

4. Pemilihan rona dinding

Warna dinding antara perkara yang penting bagi sesebuah rumah untuk menghidupkan konsep yang diinginkan termasuk konsep industri.

Kebanyakan pemilik industri memilih mempunyai dinding berona putih atau kelabu kerana ia mudah menonjolkan elemen pembinaan di rumah itu sendiri.

Ketika ini, ada juga warna cat yang mampu menghasilkan rona simen bagi menonjolkan lagi konsep berkenaan dalam rumah itu.

Jika anda lebih berani, boleh meminta kontraktor untuk simen dinding rumah yang mampu kelihatan berkilat dan mempunyai corak asli sapuan simen itu.

5. Perabot dan aksesori

Meskipun kediaman berkonsepkan industri sering kali dikaitkan dengan perabot atau aksesori besi, tetapi ia tidak semestinya wajib.

Ini kerana anda boleh meletakkan pelbagai jenis warna perabot yang sesuai dengan rona rumah itu sendiri.

Sebaik-baiknya setiap perabot atau aksesori mempunyai sedikit elemen besi atau kayu kerana ia lebih menonjolkan konsep kediaman industri.

Pemilihan lampu gantung siling juga boleh dipilih yang mempunyai gaya lebih ringkas. Ketika ini ada banyak jenis lampu hiasan yang mampu mengangkat tema industri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:00 AM