PEMILIHAN rona alam semula jadi menjadi kanvas dalam rumah.
PEMILIHAN rona alam semula jadi menjadi kanvas dalam rumah.
Hafiz Ithnin


INSPIRASI yang diceduk dari media sosial dan filem akhirnya menjadikan rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,900 kaki persegi ini tidak ubah seperti ruang galeri yang cukup ringkas, tetapi mempunyai aura kemewahan tersendiri.

Bagi pemiliknya, Nurul Ain Jamlus, 36, dan suami, Ahmad Zharif Fuad, 39, gaya ringkas menjadi penataan yang diimpikan.

Malah, pasangan yang mempunyai anak istimewa dalam kategori autisme itu juga melihat gaya rumah yang ringkas berona putih dan kelabu mampu merangsang minda anda mereka.

Nurul Ain berkata, dia menggunakan pereka hiasan dalaman profesional bagi menterjemahkan hiasan yang ada pada hari ini. Ia mengambil masa lima hingga enam bulan untuk disiapkan.

Meskipun menggunakan juruhiasan dalaman profesional, bukan bererti segala-galanya boleh diharapkan kepada pereka hiasan dalaman kerana kadangkala ada cita rasa berbeza antara kedua-dua pihak.

"Kami mendiami rumah ini sejak November 2019 dan menggunakan khidmat juruhiasan dalaman kerana sukar mendapatkan kontraktor yang boleh dipercayai daripada segi hasil kerjanya.

"Apabila menggunakan pereka hiasan dalaman profesional ini, mereka mempunyai kontraktor sendiri. Namun, ada ketikanya apa yang kita idamkan tidak dapat dihasilkan dengan sempurna. Disebabkan itu, pemantauan sentiasa perlu dilakukan ketika proses menyiapkannya," katanya.

PERHIASAN porselin yang kelihatan mewah dalam kabinet televisyen.
PERHIASAN porselin yang kelihatan mewah dalam kabinet televisyen.

Jelasnya, dia mengimpikan konsep rumah moden dan kontemporari yang dilihat mampu 'memasukkan' pelbagai jenis perabot serta aksesori dengan lebih mudah.

"Rumah saya ini tidak begitu besar dan mempunyai rekaan terbuka iaitu tanpa mempunyai penghadang sehingga ke dapur.

"Jadi, apabila mewujudkan elemen moden kontemporari ini, ia lebih nampak sesuai dan ringkas. Tambahan pula saya tidak gemarkan begitu banyak perabot dalam rumah," katanya.

Pemilihan rona putih dan kelabu sebagai warna utama dalam rumah itu ternyata memberi kesan luas, mewah dan mampu menyeimbangkan dengan warna perabot serta aksesori dalam rumah.

Di lantainya pula, pasangan itu memilih warna kayu yang dilihat begitu sepadan dengan rona utama dalam rumah, sekali gus berasa begitu tenang apabila melangkah masuk ke dalamnya.

Tidak sekadar itu, pasangan berkenaan juga memilih untuk tidak menjadikan dinding begitu sarat pelbagai hiasan apabila hanya ada satu lukisan sentuhan peribadi Nurul Ain yang dijadikan titik fokal di ruang makan.

"Memandangkan rumah ini mempunyai rekaan terbuka, kami membahagikannya dengan rekaan kabinet televisyen di ruang tamu.

"Manakala lukisan yang dihasilkan saya itu diletakkan menjadi pemisah antara ruang makan, ruang tamu serta dapur," katanya.

GABUNGAN moden dan ‘rustic’ yang serasi.
GABUNGAN moden dan ‘rustic’ yang serasi.

PERABOT dan aksesori sepadan dengan konsep yang dipilih.
PERABOT dan aksesori sepadan dengan konsep yang dipilih.

Jelasnya, pemilihan rona putih dan kelabu dilihat begitu sesuai bukan sekadar dapat membangkitkan konsep moden kontemporari, tetapi menjadi lebih mudah sekiranya berubah cita rasa untuk memasukkan rona lain di dalamnya.

"Warna kelabu dan putih ini dilihat sebagai mesra kepada warna lain dan mudah untuk dipadankan terutama untuk aksesori atau perabot yang mempunyai warna lebih cerah.

"Saya melihat kebanyakan rumah dalam set filem mempunyai warna ini kerana ia mudah untuk dipadankan dengan pelbagai warna perabot dan aksesori," katanya.

Meskipun memilih konsep itu, pasangan berkenaan turut menyuntik sedikit cita rasa 'rustic' menerusi dua kerusi makan yang mempunyai elemen rotan.

"Walaupun perabot dalam rumah kami ini nampak moden, tetapi apabila disuntik sedikit elemen 'rustic', ia nampak lebih dinamik.

"Selain itu, dua kerusi makan itu juga mempunyai kesinambungan dengan hiasan lantai kayu yang mempunyai tiga rona, sekali gus pada hemat saya ia tidak akan nampak janggal," katanya.

Katanya, dia juga gemar meletakkan porselin sebagai aksesori dalam rumah dan kebanyakannya dikumpul sebelum berpindah ke kediaman itu.

"Porselin yang ringkas menjadi pilihan kerana bagi saya, bentuk yang lebih ringkas mempunyai nilai lebih tinggi dan sesuai dengan konsep rumah diinginkan.

"Selain itu, saya juga gemarkan porselin berwarna putih dan apabila disusun dalam kabinet televisyen yang terbuka, nampak begitu serasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 7:00 AM