WARNA unik dan menonjol dijangka menjadi perhatian tahun ini.
WARNA unik dan menonjol dijangka menjadi perhatian tahun ini.
Hafiz Ithnin

MESKIPUN pembukaan tahun ini dimulai dengan khabar kurang gembira apabila hampir seluruh negara dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat peningkatan kes Covid-19. Tidak dinafikan ramai antara pemilik rumah mula memikirkan aktiviti yang boleh dilakukan bagi menghias rumah.

Ini kerana aktiviti di luar rumah semakin terbatas dalam usaha kita untuk mengekang penularan pandemik ini terus merebak.

Apa kata dalam mengisi masa lapang di rumah, meskipun ada yang perlu bekerja dari rumah, hiaskan rumah anda dengan menukar konsep lain dari yang sedia ada.

Justeru, Profesor Madya Program Seni Bina di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancang Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkongsi 10 trend yang akan terus mewarnai seni penataan hiasan dalaman sepanjang tahun ini.

1. Pintu Perancis

Pintu Perancis adalah pintu kaca berbingkai besi yang biasanya berwarna hitam. Pintu ini boleh digunakan untuk menggantikan pintu gelangsar. Penggunaan pintu ini akan memberikan aura kontemporari dan elegan kepada ruang dalaman. Selain itu, pintu ini membuatkan ruang dalaman tampak lebih luas. Ia sesuai untuk memberikan penghuni visual yang lebih luas ke luar bangunan dan mampu untuk mendekatkan atau menghubungkan seni landskap ke ruang dalaman.

SOFA 1+2+3 bukan lagi menjadi trend hiasan pada tahun ini.
SOFA 1+2+3 bukan lagi menjadi trend hiasan pada tahun ini.

2. Industri

Tema industri memiliki konsep yang berani dengan penggunaan kemasan minimum dan terdedah. Tema ini masih relevan dan akan menghantui pencinta seni hiasan dalaman yang baharu untuk mendiami rumah sendiri. Antara komponen yang boleh diketengahkan dalam tema industri ialah cat hitam, 'barn door,' kemasan batu bata merah, kemasan konkrit, kerusi besi dan rustik, sofa kulit coklat dan lampu gantung.

3. Suai dan padan corak

Suai dan padankan corak untuk tatarias di rumah menjadi trend hangat pada tahun ini. 'Colour block' yang sangat popular pada tahun tahun lalu perlu dipertingkatkan dengan gabungan corak yang bersesuaian dengan tema dan cita rasa pengguna. Corak pada penataan hiasan dalaman boleh diterapkan pada sofa, kain langsir, bantal kusyen atau kertas dinding. Sememangnya corak ini akan menjadi bahan permulaan bicara apabila tetamu datang ke rumah anda.

4. Tiada lagi sofa 1+2+3

Pengguna mula bijak dan lebih teliti dalam pemilihan sofa. Dahulunya set sofa 1+2+3 menjadi pilihan ramai atas faktor lebih memberi nilai tambah, tetapi pengguna kini lebih berani. Sifat ingin menjadi unik dan untuk memiliki identiti tersendiri mendorong pengguna mencabar kebolehan diri menyesuaikan set sofa mempunyai karakteristik yang tersendiri. Sofa ini boleh digabungkan melalui padanan warna dan corak senada.

GAYA moden rustik yang mungkin dimasukkan dalam konsep hiasan dalaman rumah anda.
GAYA moden rustik yang mungkin dimasukkan dalam konsep hiasan dalaman rumah anda.

5. Panel dinding atau skrin

Mungkin ramai yang tahu atau pernah dengar berkenaan 'wainscoting'. Panel kayu berbentuk petak berbingkai ini boleh diubah menjadi panel dinding yang lebih moden dan boleh dijadikan sebagai dinding tampak 'feature wall'. Penggemar hiasan dalaman boleh juga menggunakan dinding skrin bercorak untuk menggantikan dinding pembahagi ruang dalaman. Corak ini biasanya boleh direka bentuk khusus mengikut tema dan cita rasa pengguna.

6. Hijau dan lestari

Penggunaan tumbuhan dalam bangunan akan terus mendapat tempat di hati peminat hiasan dalaman. Tumbuhan hijau mampu untuk mengurangkan tahap tekanan penghuni selain mampu untuk memberikan aktiviti tambahan kepada pengguna terutama ketika musim PKP. Peminat tumbuhan dalaman kini boleh melabur dengan membeli pasu atau rak yang menarik untuk menyusun pokok berkenaan. Selain itu, pasu gantung bertali juga boleh digunakan. Bagi yang lebih berkemampuan, terrarium dengan pelbagai saiz dan bentuk boleh mencuri tumpuan pengunjung yang singgah ke rumah.

7. Warna lebih berani

Pada tahun ini, masyarakat perlu lebih berani dalam mencuba sesuatu yang baharu. Untuk menjadikan penataan hiasan dalaman yang tampak berbeza, pemilihan warna warna 'rare' dan unik mampu untuk menonjolkan cita rasa dan identiti penata hiasan dalaman. Kita tidak semestinya hanya bermain dengan warna cerah selain putih dan hitam yang dirasakan warna selamat. Penggunaan biru muda dan 'coral' misalnya mampu untuk membangkitkan mood sesuatu ruang.

8. 'Statement pieces'

Ia boleh ditonjolkan melalui perabot atau lampu selain bahan dekorasi yang gah di sesuatu ruang. Sebagai contoh penggunaan meja konsul berukir yang diwarnakan dengan warna garang dan berani mampu mencuri tumpuan pengunjung. 'Statement pieces' mampu memecahkan sesuatu yang normal atau menjadi kebiasaan. Ia boleh menjadi sesuatu yang di luar dari tema dipilih. Lampu gantung yang unik juga boleh digunakan. Cukup hanya meletakkan satu 'statement pieces' di suatu ruang yang ingin di tatarias.

MASUKAN elemen hijau daripada pokok untuk mewujudkan suasana segar dan ia dijangka menjadi trend tahun ini.
MASUKAN elemen hijau daripada pokok untuk mewujudkan suasana segar dan ia dijangka menjadi trend tahun ini.

9. Moden rustik

Moden rustik biasanya mengetengahkan penggabungan seni reka bentuk moden dengan bahan dekorasi atau perabot yang lama atau antik. Hasil gabungan ini menjadikan sesuatu ruang itu malar hijau. Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati supaya kita tidak meletakkan terlalu banyak perabot atau bahan dekorasi antik terlalu banyak menyebabkan ruang tidak tampak moden.

10. Warna kayu terang (Pine wood)

Sememangnya amat sukar untuk kita memilih warna kemasan lantai kayu pada ruang dalaman. Warna gelap amat sesuai bagi ruang yang mudah kotor atau ruang yang banyak aktiviti. Tapi, kini peminat tatarias boleh mencuba warna kayu yang lebih cerah seperti warna pokok pine. Warna ini lebih segar dan sesuai bagi sesiapa yang sukakan konsep hijau atau mampan, zen dan Scandanavia. Warna cerah pada lantai mampu menerangi ruang yang gelap dengan bukaan tingkap yang kecil. Selain itu, warna lantai yang cerah ini boleh menonjolkan corak pada perabot yang digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:31 AM