DR Mohd Hafizal
DR Mohd Hafizal
PEMILIHAN rona dinding penting dalam hiasan dalaman.
PEMILIHAN rona dinding penting dalam hiasan dalaman.
PENGGUNAAN warna cat juga boleh membentuk ilusi di dalam kediaman.
PENGGUNAAN warna cat juga boleh membentuk ilusi di dalam kediaman.
Hafiz Ithnin


BAGI pemilik terutama yang baharu melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pasti menginginkan aura tersendiri di setiap ruang kediaman mereka.

Justeru, penggunaan warna atau corak di dinding antara yang menjadi perhatian bagi menaikkan 'kuasanya.'

Tidak lengkap penataan ruang tanpa membabitkan 'feature wall.' Ia adalah dinding mempunyai ciri-ciri unik yang diketengahkan atau ditonjolkan selain menjadi salah satu elemen penting dalam dekorasi.

Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, biasanya dinding ini menjadi titik fokal atau titik tumpu di dalam sesuatu ruang.

"Dinding juga membuka peluang kepada pereka hiasan dalaman untuk bereksperimen dengan warna, corak, tekstur dan bentuk. Kadang kala, amat sukar untuk kita menentukan dinding ini terutamanya bagi ruang yang mempunyai pelan terbuka seperti ruang tamu bersambung dengan ruang makan dan dapur.

WARNA tunggal boleh menjadi titik fokal pada dinding di sesuatu ruang.
WARNA tunggal boleh menjadi titik fokal pada dinding di sesuatu ruang.

"Bagaimana untuk menentukan dinding yang sesuai bagi dijadikan 'feature wall?' Antara tip yang boleh diguna pakai pertama, dinding yang setentang dengan pintu masuk," katanya.

Biasanya bahagian dinding ini adalah yang pertama dilihat apabila memasuki sesuatu ruang. Kedua, dinding yang boleh dijadikan titik tumpu.

"Kebiasaannya dinding ini dijadikan latar belakang kepada meja makan, televisyen, cermin, bingkai gambar dan lukisan selain sesuai disandarkan kepala katil.

PENGGUNAAN jenis yang tidak dapat menutup struktur dinding yang tidak rata kadang-kala menjadi seni dalam hiasan dalaman.
PENGGUNAAN jenis yang tidak dapat menutup struktur dinding yang tidak rata kadang-kala menjadi seni dalam hiasan dalaman.

"Bagi penggemar material kayu, penggunaan panel dinding jenis shiplap, fluted atau bergalur dan slat wall antara sesuai diketengahkan.

"Setiap material kayu ini memberikan impak yang sangat berbeza pada konsep dan dinding terbabit," katanya.

Katanya, antara bahan lain yang boleh digunakan untuk menaikkan seri dinding itu adalah kertas dinding, PVC, batu, venir dan cat.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada bajet anda. Cat mungkin antara cara yang paling mudah, berkesan dan menjimatkan.

Biasanya, penggunaan cat boleh dijadikan sebagai projek lakukan sendiri (DIY) bersama keluarga tersayang pada masa lapang. Antaranya:

Menggunakan corak geometri

Pengguna hanya perlu menggunakan pita pelekat dengan membentuk corak abstrak atau tersusun bagi mengawal cat pada permukaan dinding.

Bentuk ini boleh diletakkan pada keseluruhan permukaan dinding atau pada sudut tertentu seperti bucu antara dua dinding, di ruang tengah dan sebagainya mengikut cita rasa atau kesesuaian.

Gabungan warna cat yang harmoni boleh digunakan jika ingin meletakkan pelbagai warna pada dinding itu. Cuba elakkan kombinasi blok warna bertentangan yang terlalu garang bagi dinding di rumah.

Warna monoton seperti kelabu atau pastel boleh digabungkan dengan dinding putih.

Cat bertekstur

Berus atau alat khas digunakan bagi membentuk tekstur unik pada dinding itu dalam bentuk garisan-garisan halus atau tompokan. Kebiasaannya, satu warna asas dicat di permukaan bawah dan satu lapisan warna lain di letak di permukaan atas untuk menaikkan lagi kesan tekstur yang ingin ditonjolkan.

Cat simen atau konkrit

Bagi penggemar tema industri atau brutalism dalam seni bina, kemasan konkrit sering diguna pakai. Untuk membentuk dinding konkrit yang sebenar, tentunya belanja besar diperlukan. Alternatif lain adalah menggunakan cat khas yang memberi kesan simen atau konkrit yang boleh diaplikasikan pada dinding sedia ada.

Membentuk ilusi

Cat juga boleh membantu dalam membentuk ilusi di dalam sesuatu ruang. Untuk menjadikan sesuatu ruang itu lebih tinggi, corak jaluran menegak boleh digunakan selain corak jaluran melintang untuk menjadikan sesuatu ruang itu lebih lebar.

Kombinasi bahan

Cat juga boleh dikombinasikan dengan pelbagai bahan sesuai iaitu kertas dinding yang dibahagikan menggunakan panel kayu di antara kedua-dua bahan ini. Hal ini mampu untuk membangkitkan personaliti tuan rumah dan memberikan sedikit elemen keseronokan pada dinding itu.

CAT simen antara yang popular bagi mereka yang gemarkan konsep industri.
CAT simen antara yang popular bagi mereka yang gemarkan konsep industri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 6:20 AM