RUANG tamu yang mengambil masa dua hari untuk disiapkan hiasan dalamannya.
RUANG tamu yang mengambil masa dua hari untuk disiapkan hiasan dalamannya.
PENGGUNAAN kertas dinding sebelum ini di ruang tamu.
PENGGUNAAN kertas dinding sebelum ini di ruang tamu.
AKSESORI di ruang tamu yang ringkas.
AKSESORI di ruang tamu yang ringkas.
Hafiz Ithnin


SEBAIK sahaja melangkah masuk ke ruang tamu berukuran sekitar 336 kaki persegi itu, perasaan seakan-akan berada di lobi hotel.

Mana tidaknya, terbentang di depan mata hiasan dalaman cukup tenang dan santai. Perhiasan kelihatan mewah dengan elemen keemasan menjadikan ruang itu berada di dalam kelasnya tersendiri.

Sebenarnya, ruang tamu itu baharu sahaja mendapat sentuhan peribadi perunding hiasan dalaman bebas, Nurlailah Khadijah Awaluddin yang menunaikan impian pelanggannya untuk mendapatkan ruang tamu seperti itu.

Jelasnya, ruang berkenaan tidak langsung membabitkan kerja-kerja pengubahsuaian yang besar. Hanya membabitkan kerja menukar perabot, cat dan juga aksesori bagi mendapatkan konsep diimpikan.

"Pelanggan hanya ingin 'makeover' ruang tamu ini bagi memberi kejutan kepada ibunya sempena hari raya dan syukur ia dapat disiapkan dalam tempoh dua hari.

"Sebenarnya pelanggan begitu tertarik dengan konsep kediaman saya sendiri sebelum ini. Ketika ditanya mengenai konsep yang dia inginkan, pelanggan memberitahu ibunya amat mengimpikan sebuah ruang tamu seperti di rumah saya," katanya.

Katanya, memandangkan sudah mempunyai pengalaman untuk membangunkan konsep kediaman seperti itu, kerja-kerja pengubahsuaian menjadi lebih mudah.

KEADAAN ruang tamu sebelum berubah wajah.
KEADAAN ruang tamu sebelum berubah wajah.

"Jika membabitkan kerja-kerja pengubahsuaian yang berskala besar seperti ubah suai dinding atau perlu menukar lantai ia pasti mengambil masa yang lebih lama.

"Tetapi pelanggan saya hanya ingin menukar perabot, cat dan juga aksesori. Namun, ia perlu kelihatan mewah dan moden," katanya.

Jelasnya, pemilihan rona kelabu lembut di dinding dengan kesan pencahayaan lampu yang sesuai mampu memberi aura ketenangan di dalam sesebuah ruang.

"Saya sengaja memilih rona kelabu lembut ini kerana ia mempunyai kuasa mewah tersendiri dan mudah untuk disuai padan dengan rona perabot yang lain.

"Tambahan pula, apabila kita memasang lampu berwarna oren, ia akan memberi kesan yang lebih baik kepada ruang itu selain nampak lebih tenang, santai dan mewah," katanya.

Bagaimanapun dia berdepan dengan cabaran untuk memasang cermin pada dinding kerana permukaan dinding kediaman pelanggannya itu tidak begitu sekata.

CABARAN memasang cermin kerana dinding tidak sekata.
CABARAN memasang cermin kerana dinding tidak sekata.

"Saya ingin meletakkan cermin ini sebagai titik fokal di ruang tamu supaya ia mampu menarik perhatian apabila orang melangkah masuk ke dalamnya.

"Selain itu, cermin juga memberi kesan kepada lebih luas pada ruang ini. Bagaimanapun, saya berdepan sedikit cabaran apabila pada awalnya sukar untuk cermin itu dipasang apatah lagi kita tidak mahu melakukan kerja-kerja pengubahsuaian yang membabitkan 'wetwork.' Syukur dengan pengalaman yang ada ia dapat juga disiapkan," katanya.

Jelasnya, dia juga menempah khas semua perabot baharu yang lebih minimal, mempunyai kesinambungan dengan warna dinding dan mampu mengangkat konsep mewah itu sendiri.

"Pemilihan perabot juga agak penting kerana saya sebagai perunding hiasan dalaman tidak mahu ia kelihatan janggal dan tidak praktikal kepada penghuni kediaman.

"Jadi, saya memilih supaya keberadaan perabot di ruang itu tidak menjadikannya sempit dan ronanya mempunyai kesinambungan," katanya.

PEMILIHAN rona yang mempunyai kesinambungan penting untuk wujudkan keharnonian di dalam sesuatu ruang.
PEMILIHAN rona yang mempunyai kesinambungan penting untuk wujudkan keharnonian di dalam sesuatu ruang.

Katanya, pemasangan panel dinding (wainscoting) antara yang mampu menjadikan sesuatu ruang itu nampak lebih menarik walaupun ia tidak menjadi titik fokal secara total.

"Panel dinding ini sememangnya menjadi pilihan ramai kerana ia bukan saja mampu menjadikan sesuatu dinding sebagai titik fokal tetapi ia juga berupaya tampil sebagai hiasan yang menarik jika kena dengan padanan rona dan susunannya di dinding.

"Selain itu, pemasangan panel dinding perlu dilakukan secara berhati-hati supaya ia nampak selari dari segi kedudukannya," katanya.

Katanya, dia sengaja memilih aksesori yang mempunyai sedikit elemen keemasan kerana rona itu sememangnya mampu menonjolkan aura kemewahan kepada sesuatu ruang.

"Jadi, saya memilih rona keemasan itu di beberapa aksesori seperti kaki sofa, bingkai gambar dan juga kaki meja kopi.

RUANG tamu kediaman dihias dengan perhiasan mewah dengan elemen keemasan.
RUANG tamu kediaman dihias dengan perhiasan mewah dengan elemen keemasan.

"Namun, perlu diingatkan rona seperti itu perlulah mempunyai kesinambungan yang baik supaya ia tidak kelihatan janggal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 6:30 AM