MILIKI sekurang-kurangnya satu perabot baharu dimasukkan dalam ruang antara langkah transformasi kediaman anda.
MILIKI sekurang-kurangnya satu perabot baharu dimasukkan dalam ruang antara langkah transformasi kediaman anda.
Hafiz Ithnin

MEMBERI nafas baharu menerusi transformasi sememangnya menjadi pilihan setiap pemilik rumah. Apatah lagi, jika ada sambutan perayaan atau majlis penting.

Tidak dinafikan transformasi dilakukan menjadikan penghuninya menikmati aura baharu sesebuah rumah walaupun ia sudah lama dihuni.

Justeru dalam ruangan Dekotaman kali ini kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh dipraktikkan untuk transformasi rumah anda.

1. Perabot

Kadangkala dengan hanya memiliki satu perabot baharu mampu menjadikan sesebuah ruang itu kelihatan baharu.

Bagi anda yang ingin melakukan transformasi rumah, dicadangkan memiliki sekurang-kurangnya satu perabot baharu untuk dimasukkan dalam ruang yang ingin didekorasi.

Tidak semestinya perabot itu bersaiz besar. Memadai dengan hanya menggantikan meja kopi yang baharu, tetapi ia mempunyai elemen baharu dan berbeza dengan terdahulu.

Selain mempunyai sedikit unsur terkini untuk menjadi satu titik fokal dalam rumah anda.

2. Cat

Jika ada bercadang membuat transformasi rumah dengan menukar rona, sudah tentu ia adalah idea yang baik.

Perubahan warna di sesuatu ruang rumah mampu memberi satu nafas baharu kerana ia berupaya mengubah keseluruhan penampilannya secara tidak langsung.

Namun, pastikan anda memilih warna sesuai untuk mengecat sesuatu ruang yang dikehendaki. Terutama jika anda tidak bercadang melakukan transformasi secara besar-besaran.

Perkara ini amat penting kerana pastikan cat yang dipilih itu mempunyai kesinambungan dan harmoni dengan rona perabot dan aksesori sedia ada dalam rumah itu.

Perlu diingatkan perubahan warna dinding mampu mengolah keharmonian hiasan dalaman rumah anda. Pastikan anda membuat keputusan yang bijak untuk memilih warna cat.

PASTIKAN perubahan dekorasi tidak mengganggu keharmonian tema yang ditetapkan.
PASTIKAN perubahan dekorasi tidak mengganggu keharmonian tema yang ditetapkan.

3. Titik fokal

Jika sebelum ini anda berasakan dalam rumah tidak mempunyai satu titik fokal. Ini adalah masa sesuai mewujudkan satu titik fokal dalam rumah anda.

Titik fokal ini boleh dicipta menerusi perabot, warna dinding dan aksesori. Misalnya, anda boleh memilih satu cermin yang mempunyai bentuk unik dan besar untuk dijadikan satu titik fokal dalam ruang tamu atau ruang makan.

Malah titik fokal ini menjadi satu daya penarik apabila anda atau tetamu berada dalam ruang berkenaan kerana ia mendominasi pandangan.

4. Aksesori

Tidak dinafikan aksesori mampu memberi kesan kepada inspirasi ruang rumah yang ingin anda wujudkan. Misalnya untuk rumah jenis mewah, aksesori biasanya bersifat gemerlapan dan rona seperti emas atau perak metalik menjadi pilihan.

Jika anda tidak bercadang mengubah keseluruhan tema kediaman, anda hanya perlu menukar aksesori yang mempunyai sifat harmoni dengan tema sedia ada.

Contohnya menukar pasu bunga yang diletakkan di atas para atau jenis pokok tiruan yang menjadi pelengkap aksesori di dalam sesuatu ruang.

5. Permaidani

Aksesori fabrik ini tidak dinafikan mampu memberi kesan yang begitu dominan dalam sesuatu ruang jika ia diubah kerana warna, bentuk dan saiznya yang kadangkala menjadi satu titik fokal dalam sesuatu ruang.

Sekiranya anda bercadang membuat transformasi ruang dalam rumah, anda boleh melakukan dengan menempatkan permaidani bercorak dan bentuk yang baharu kerana ia mampu memberi kesan lebih besar.

Pastikan permaidani baharu itu mempunyai ciri-ciri harmoni dan seimbang dengan rona sesuatu ruang supaya ia tidak kelihatan canggung apabila berada dengan warna lain.

Selain itu, pastikan saiz permaidani yang dipilih juga bersesuaian dengan ruang yang ingin diubah kerana pemilihan saiz salah memberi kesan negatif kepada susun atur dalam ruang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 6:20 AM