SkyPark Terminal, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. - FOTO NSTP
SkyPark Terminal, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) akan berupaya mengendalikan lapan juta penumpang setahun (ppa) menjelang 2030 di bawah Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP), dengan dua pesawat jet komersial dijangka beroperasi pada akhir Mac tahun ini, kata Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ketua KLIA Aeropolis Sdn Bhd Randhill Singh berkata pangkalan untuk pesawat juga akan dikonfigurasikan semula daripada 11 pesawat varian ATR kepada lima ATR dan enam pesawat jet, yang boleh bermula pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata bahawa dengan mengkonfigurasi semula beberapa kemudahan, perkhidmatan dan kiosk, lapangan terbang itu boleh menguruskan tiga juta penumpang setahun menjelang Jun tahun ini di bawah fasa interimnya dan lima juta penumpang setahun dalam fasa dua.

LTSAAS pada masa ini mengendalikan kapasiti 1.5 juta penumpang setahun.

Di bawah SARP, Randhill berkata terdapat tiga segmen untuk keseluruhan ekosistem yang merangkumi 477.33 hektar, iaitu ekosistem aeroangkasa (bahagian daratan – operasi perindustrian), perniagaan penerbangan (bahagian udara – pesawat sayap tetap dan operasi helikopter) dan lapangan terbang bandar (lapangan terbang dan operasi operator pangkalan tetap).

"SARP bertujuan untuk memaksimumkan nilai ekonomi LTSAAS dan kawasan sekitarnya melalui pelbagai strategi pembangunan," katanya pada lawatan suai kenal media mengenai SARP di LTSAAS semalam.

Beliau berkata ia termasuk mengoptimumkan kawasan untuk perniagaan penerbangan, pembangunan semula dan ruang baharu untuk segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai tinggi serta pemodenan dan pengembangan LTSAAS.

"Ia akan meningkatkan jumlah keluasan lantai kasar (GFA) dengan ketara untuk menampung pemain-pemain perniagaan penerbangan bernilai tinggi. GFA pada masa kini ialah pada 1.73 juta kaki persegi dan ini akan meningkat kepada 3.97 juta kaki persegi selepas SARP," katanya.

Selain itu, Randhill juga menyatakan bahawa pembangunan semula LTSAAS di bawah SARP dijangka menjana pendapatan berjumlah RM216.6 bilion atau RM8.7 bilion setahun untuk ekonomi Malaysia dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Memetik Penilaian Impak Ekonomi Bebas yang dijalankan oleh Deloitte dan Touche Financial Advisory Services Pte Ltd, beliau berkata pembangunan itu juga akan menjana nilai tambah berjumlah RM93.7 bilion atau RM3.7 bilion setahun dalam tempoh 25 tahun akan datang.

"Satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor akan disumbangkan oleh SARP dan akan memberi kesan kepada 124 industri," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata konfigurasi semula itu juga akan memastikan daya saing Malaysia setaraf dengan Taman Aeroangkasa Seletar Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao Thailand dalam industri penerbangan dan aeroangkasa, sambil turut menarik pelaburan, meningkatkan pendapatan tempatan dan menyokong perniagaan kecil untuk merancakkan ekonomi.

"Selain itu, ia menyokong komuniti berpendapatan rendah, seperti di Kampung Melayu Subang (RM3,500) dan Bandar Pinggiran Subang (RM6,000) untuk mengatasi pendapatan median Daerah Petaling sebanyak RM8,993 pada 2019.

"Ia juga memanfaatkan kumpulan bakat tempatan yang mahir dengan lebih 70 peratus penduduk berumur 15-65 tahun," jelasnya.

SARP juga katanya akan mengubah LTSAAS dan persekitarannya menjadi hab ekonomi dan sosial, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Antara syarikat yang beroperasi di LTSAAS ialah Collins Aerospace, Airbus Helicopters, Nusantara Aviation Services, Execujet, Dassault Aviation dan Leonardo Helicopters.

Randhill juga menambah bahawa perjanjian operasi (OA) baharu baru-baru ini menyediakan struktur yang lebih jelas untuk MAHB dan pengendali lapangan terbang itu untuk melabur dari segi pembinaan kapasiti dan menaik taraf lapangan terbang, berdasarkan model pemulihan pelaburan.

"Jadi, saya fikir ia memberi petanda yang baik untuk kami maju dalam projek pembangunan lapangan terbang kami...anda akan melihat banyak perkara ini kini bergerak secara progresif kerana OA baharu telah ada," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan, dan MAHB menandatangani OA baharu selama 45 tahun sehingga 11 Feb, 2069, dan selepas menandatangani perjanjian, pengendali lapangan terbang itu akan meneruskan peranannya untuk mengendalikan, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang dan lapangan terbang landasan pendek (STOLports) di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 10:00 AM