ISKANDAR Mizal
ISKANDAR Mizal

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama dengan anak syarikat Dassault Aviation, ExecuJet MRO Services Malaysia untuk membuka pusat penyenggaraan jet perniagaan dengan pelaburan lebih RM100 juta.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, kemudahan baharu seluas 144,000 kaki persegi itu terletak di Lapangan Terbang Subang.

Beliau berkata, ia berupaya menampung sehingga 45 pesawat setiap bulan dijangka siap pada suku keempat 2023.

"Lapangan Terbang Subang mempelopori aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi aeroangkasa dan penerbangan sejak 2005.

"Ia membentuk sebahagian daripada pembangunan Aeropolis kumpulan yang menumpukan kepada tiga kluster teras iaitu Aeroangkasa dan Penerbangan, Kargo dan Logistik dan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran serta Liburan.

"Aeropolis adalah pembangunan luar terminal yang bersepadu dan sinergi menumpukan kepada aktiviti pertumbuhan utama yang diselaraskan dengan rangka tindakan nasional," katanya pada majlis pertukaran dokumen kerjasama itu, baru-baru ini.

Iskandar Mizal berkata, matlamat utama Aeropolis adalah mewujudkan ekosistem penerbangan yang boleh menarik pelaburan langsung asing oleh pengendali global.

Berdasarkan ekosistem sedia ada di Lapangan Terbang Subang, beliau berkata, ia berada di landasan untuk mencapai hasratnya kerana ekosistem aeroangkasa lapangan terbang itu diiktiraf sebagai sebahagian daripada rantaian nilai pembuatan dan pemasangan aeroangkasa global serta sebagai hab MRO serantau bagi penerbangan awam

"Selain menarik pelaburan asing dan menyumbang kepada ekonomi tempatan, kita meningkatkan modal insan dengan menambah kemahiran tenaga kerja tempatan dengan pengetahuan teknikal dan keupayaan baharu, yang mana ExecuJet membuat pelaburan besar bagi melatih tenaga kerja tempatannya," katanya.

ExecuJet adalah satu daripada sebilangan besar syarikat penerbangan global yang ketika ini berpangkalan di Lapangan Terbang Subang yang beroperasi di sana sejak awal 2009.

Kerjasama strategik itu menyaksikan MAHB menyewakan semula 186,000 kaki persegi kepada ExecuJet untuk membina hangar MRO canggih baharu bagi jet peribadi di Lapangan Terbang Subang dengan ruang untuk hangar, penyenggaraan, bengkel kerja dan pejabat korporat.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkata, pelaburan baharu bernilai RM100 juta itu bagi tujuan pengembangan termasuk kemudahan binaan khas, menaik taraf peralatan dan latihan akan meningkatkan lagi kemudahan MRO syarikat.

"Di kemudahan kami seluas kira-kira 52,000 kaki persegi ketika ini, kami melakukan penyenggaraan kira-kira 30 jet sebulan pada masa ini dan kira-kira 40 jet sebulan sebelum pandemik, Dengan kemudahan baharu itu, kami menjangka menyenggara 45 hingga 50 jet sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 7:03 AM