PENGERUSI MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
PENGERUSI MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
LTSAAS adalah lapangan terbang bersejarah negara dan dekat di hati rakyat.
LTSAAS adalah lapangan terbang bersejarah negara dan dekat di hati rakyat.

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) memohon kerajaan supaya mengkaji semula sebarang hasrat untuk mencairkan pegangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS Subang) kepada mana-mana pihak swasta, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata demikian berikutan kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang yang dikendalikan itu mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

"Malah, beberapa lapangan terbang antarabangsa kendalian Malaysia Airports sama ada di Malaysia, mahupun di Turki, kerap mendapat pengiktirafan global dalam aspek perkhidmatan dan pertumbuhan jumlah penumpang.

"Saya yakin setelah mendengar pandangan Malaysia Airports dan agensi lain yang berkaitan, pihak kerajaan tidak akan mengorbankan sebuah aset strategik negara," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan berita yang disiarkan beberapa media dan individu mengenai cadangan kepada pihak kerajaan mengenai pengambilalihan LTSAAS Subang oleh pihak swasta.

Katanya, lapangan terbang secara umumnya aset strategik hak milik negara apatah lagi LTSAAS selaku lapangan terbang bersejarah negara dan dekat di hati rakyat.

"Selaku pengerusi Malaysia Airports, saya amat memandang serius laporan berita itu.

"Oleh itu, tentulah sebarang langkah dalam membenarkan ia dikendali oleh pihak swasta perlu difikirkan secara mendalam, baik dari segi aspek keselamatan dan pertahanan, mahupun hak milik," tambahnya.

Dr Zambry berkata, sepanjang kewujudan LTSAAS, ia berjaya menjadi pencetus kepada pembangunan industri penerbangan yang besar untuk negara, terutamanya dalam industri aeroangkasa.

Sehubungan itu, menurutnya, pihak Malaysia Airports sudah memberi perhatian khusus dalam merancang hala tuju jangka panjang LTSAAS di bawah rangka kerja pelan induk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 7:00 AM