LAPANGAN Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
LAPANGAN Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan harus membatalkan sebarang hasrat untuk menswastakan dan mengeluarkan (carve-out) Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) daripada rangkaian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan membiarkannya diambil alih oleh pihak tertentu yang lain, kata Pengerusi MAHB Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Sekali lagi saya menyampaikan pandangan dan pendirian saya kepada pemegang tampuk kuasa mengenai kedudukan LTSAAS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zambry menekankan bahawa pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan oleh MAHB adalah sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara iaitu Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

"Ini adalah kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS.

"'Justeru tidak timbul perkara yang dimainkan oleh kalangan tertentu bahawa saya tidak pernah bersama dengan Malaysia Airports dan Kesatuan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung, Sabah & Labuan serta Sarawak (KESMA, KEPEMAB dan KEPMAS) dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan.

"'Saya menghormati pendirian KESMA, KEPEMAB dan KEPMAS kerana mereka mewakili suara warga Malaysia Airports," tambah Zambry.

Pelan strategik dan komprehensif MAHB bagi pembangunan semula LTSAAS bertujuan mengembangkan ekosistem lapangan terbang itu, menggandakan jumlah pengendali global dan tempatan melebihi 100 untuk mewujudkan dan menyokong 19,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Kerjasama terbarunya dengan Teknopark Istanbul yang diumumkan pada Rabu bermatlamat membawa kepimpinan inovasi dan teknologi ke Subang Aerotech Park.

Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan pengendali lapangan terbang dalam memenuhi aspirasi LTSAAS untuk menjadi hab penerbangan aeroangkasa dan perniagaan di Asia-Pasifik.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 12:32 PM