Syed Saiful Islam.
Syed Saiful Islam.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Nestlé (Malaysia) Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Syed Saiful Islam sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) baharu Syarikat berkuat kuasa 1 Ogos 2022.

Syed Saiful akan menggantikan Craig Connolly, yang merupakan CFO sejak 2019 yang akan memegang jawatan baharu sebagai Ketua Perkhidmatan Kewangan Global yang berpangkalan di Vevey, Switzerland.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, bagi pihak Lembaga Pengarah, beliau mengucapkan tahniah kepada Connolly atas pelantikannya dan berbesar hati atas sokongan dan sumbangannya kepada Nestlé Malaysia selama ini.

"Berbekalkan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang luas, Connolly telah bersama-sama memimpin Syarikat dengan cemerlang sambil mengharungi beberapa tahun kebelakangan ini yang sungguh mencabar.

"Dalam pada itu, kami juga sukacita untuk mengalu-alukan Syed Saiful yang mempunyai keupayaan dan pengalaman luas untuk terus menambah nilai kepada organisasi kami," katanya dalam kenyataan.

Syed Saiful menyertai Nestlé Bangladesh pada 1999 sebagai Pengurus Perakaunan Kewangan sebelum memegang pelbagai jawatan di Nestlé India dari tahun 2000 hingga 2005.

Selepas itu, beliau telah dilantik sebagai Pengawal Korporat Nestlé Bangladesh pada 2006 sebelum dinaikkan pangkat kepada Pengawal Kewangan pada tahun sama.

Sejak 2010, beliau telah menyandang beberapa jawatan kepimpinan di dalam Nestlé, termasuk Naib Presiden Kewangan & Kawalan Nestlé Sri Lanka, Ketua Kewangan & Kawalan Nestlé Nigeria dan peranan semasanya sebagai Ketua Kewangan & Kawalan Nestlé Pakistan sejak 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 7:34 PM