PENGIKUT Connolly di Instagram kini meningkat kepada 269,000 orang. FOTO petikan Youtube
PENGIKUT Connolly di Instagram kini meningkat kepada 269,000 orang. FOTO petikan Youtube
Agensi

Victoria: Remaja 17 tahun yang memecahkan telur di kepala senator Australia menjadi semakin popular dengan puluhan ribu peminat kini mengikutnya di media sosial, malah turut mendapat pujian beberapa kumpulan muzik tempatan yang menawarkannya tiket konsert percuma seumur hidup.

Will Connolly, 17, yang digelar ‘EggBoi’ (budak telur) dirakam memecahkan telur di kepala Senator Fraser Anning susulan kenyataan kontroversi berhubung serangan di masjid di Christchurch, sebelum dibawa keluar dari lokasi berkenaan oleh polis.

Tanda pagar EggBoyHero juga digunakan meluas di Twitter, lapor Daily Mail.

Sejak video itu tersebar, pengikut Connolly di Instagram meningkat kepada 269,000 orang, malah dia menerima lebih 30,000 komen pujian dari seluruh dunia termasuk Belanda, Maghribi serta Mesir.

“Kamu wira, kami amat berbangga. Ucapan penuh hormat dari Libya,” kata seorang pengguna.

Kumpulan hip hop, Hilltop Hoods, selain kumpulan metal dan rock tempatan, The Amity Affliction, The Living End serta Violent Soho antara yang menyuarakan sokongan untuk perbuatannya dengan menawarkan tiket konsert percuma seumur hidup.

Malah, penganjur festival muzik di Amerika Syarikat, Rolling Loud serta The Mountain Goats turut membuat tawaran sama.

Selain itu, laman GoFundMe diwujudkan untuk ‘membantu EggBoi membayar kos guaman serta membeli lebih banyak telur.’

Ia mendapat jauh lebih banyak daripada A$2,000 (RM5,800) disasarkan, malah dikongsi lebih 14,000 kali di Facebook dengan lebih 1,400 orang menyumbang pada hari pertama. Jumlah dikutip dilaporkan sudah mencecah A$30,000 (RM87,000), lapor Daily Mail.

Sementara itu, berita terkini di laman itu menyatakan, Connolly mahu menyumbang sebahagian wang didermakan itu kepada mangsa serangan di Christchurch.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:35 PM