THE Exchange TRX  dilengkapi apartmen, ruang pejabat, hotel dan taman atas bumbung. FOTO Syarafiq Abd Samad
THE Exchange TRX dilengkapi apartmen, ruang pejabat, hotel dan taman atas bumbung. FOTO Syarafiq Abd Samad
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: The Exchange TRX dijangka melengkapkan pembinaan pusat beli-belahnya yang memiliki ketinggian empat tingkat menjelang suku ketiga 2021.

Pengarah Projek Lendlease bagi The Exchange TRX, Brendan Walker berkata, pusat beli-belah terbabit akan menjadi destinasi runcit berskala besar dengan ruang boleh disewa berukuran 1.3 juta kaki persegi.

“Pembangunan pusat beli-belah ini berjalan lancar manakala bahagian taman sedang dalam rundingan fasa akhir bagi mendapatkan kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami juga sedang memuktamadkan kelulusan bagi rekaan hotel dan pejabat di kawasan pembangunan ini,” katanya pada media selepas taklimat media The Exchange TRX di sini, semalam.

The Exchange TRX atau sebelum ini dikenali sebagai Lifestyle Quarter adalah projek pembangunan bercampur seluas 6.87 hektar yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX) dengan ia adalah usaha sama antara firma pemaju dan infrastruktur Australia, Lendlease (60 peratus) dan TRX City Sdn Bhd (40 peratus).

Projek ini membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AS$3 bilion atau RM9.1 bilion dan terdiri daripada pusat beli-belah empat tingkat, enam blok apartmen, pejabat gred A, hotel dan taman di atas bumbung dengan keluasan 4.04 hektar.

Beliau berkata, ruang pejabat dijangka siap menjelang akhir 2021 atau awal 2022 iaitu selepas pembinaan pusat beli-belah diikuti hotel (pertengahan hingga hujung 2022).

Untuk enam menara kediaman, unit terbabit akan diserahkan bermula pada 2023 dan seterusnya bergantung kepada situasi pasaran.

“Terdapat 2,500 unit apartmen akan ditawarkan dan kami sedang mengadakan perjumpaan dengan ejen tempatan serta luar negara bagi tujuan jualan selepas pelancaran kelak,” katanya.

Sementara itu, Brendan berkata, syarikatnya sudah berjaya mencapai lima juta jam kerja selamat di kawasan pembangunan The Exchange TRX yang memiliki kira-kira 1,600 hingga 1,800 pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 8:28 AM