LOMBARDO  (dua kiri) dan Azmar (tiga kiri)  bersama pegawai pengurusan kanan Lendlease dan TRX.
LOMBARDO (dua kiri) dan Azmar (tiga kiri) bersama pegawai pengurusan kanan Lendlease dan TRX.
Nasharuddin Muhammad


Sydney: Lendlease, syarikat pemaju hartanah terkemuka global berpangkalan di Australia komited membangunkan presint gaya hidup di Tun Razak Exchange (TRX) di ibu negara dengan pembangunan ikonik berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.

Lendlease diberi tanggungjawab membangunkan kawasan seluas 6.8 hektar presint gaya hidup di TRX yang bakal menjadi hab kewangan terkemuka negara pada masa akan datang dengan tiga komponen utama iaitu pusat beli-belah, The Exchange TRX, hotel serta kediaman, TRX Residences.

Terletak di lokasi strategik di tengah kawasan pembangunan TRX, Lendlease membangunkan projek melalui kerjasama pemaju utama TRX, TRX City Sdn Bhd yang memegang 40 peratus kepentingan manakala Lendlease memegang baki 60 peratus.

Apabila siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lapan tahun lagi, projek dibangunkan secara berperingkat dalam beberapa fasa itu mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion atau AUD2.8 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease Asia Tony Lombardo berkata, dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam pembangunan hartanah khususnya pembangunan semula perbandaran (urban regeneration), pihaknya optimis menyiapkan projek mengikut matlamat ditetapkan.

Menurutnya, dengan matlamat TRX untuk muncul sebagai hab kewangan terkemuka bukan saja di Malaysia, malah di peringkat global, Lendlease yakin dapat membantu TRX City membangunkan kawasan pertumbuhan baru Kuala Lumpur itu dengan infrastruktur serba moden.

Beliau berkata, pihaknya mengguna pakai model pembangunan semula perbandaran (urban regeneration) di Barangaroo South, Sydney yang dilaksanakan dengan jaya oleh Lendlease untuk pembangunan bagi presint gaya hidup di TRX.

“Barangaroo South adalah projek pembangunan semula perbandaran (urban regeneration) yang terbesar di Sydney dan kami bangga dapat menunjukkan kejayaan projek itu kepada dunia.

“Kami juga menampilkan ciri-ciri, elemen dan falsafah sama dengan projek pembangunan bagi presint gaya hidup di TRX.

“Di Lendlease, kami berpegang kepada falsafah yang mengutamakan aspek kelestarian, keselamatan, kepelbagaian dan inklusif serta fokus kepada pelanggan, menjadikan setiap projek pembangunan kami unik dan bersepadu.

“Di Lendlease, kami membina perbandaran masa depan dengan setiap projek pembangunan mengambil kira aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial,” katanya kepada media Malaysia yang dibawa meninjau kawasan pembangunan di Barangaroo South, di sini.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Pegawai Eksekutif TRX Datuk Azmar Talib, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Lend Lease Projects (M) Sdn Bhd Dinesh K Nambiar dan Pengarah Urusan Tun Razak Exchange Lifestyle Quarter Stuart Mendel.

Beliau berkata, TRX antara projek yang bakal menjadi mercu tanda pembangunan semula perbandaran Kuala Lumpur pada masa depan yang mampu mencipta legasi dalam tempoh jangka panjang.

Menurutnya, apabila siap kelak pada 2020, The Exchange TRX bakal muncul sebagai pusat beli-belah bertaraf dunia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan membeli-belah, rangkaian restoran dan kafe serta hiburan yang unik.

Katanya, bagi komponen kediaman dijangka siap menjelang 2021, TRX Residences yang mengandungi enam blok menawarkan kediaman moden, mewah selain menjanjikan privasi meskipun terletak dalam presint perbandaran di tengah ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 8:06 AM