Ciri utama yang bakal diketengahkan The Exchange TRX adalah taman atas bumbung berkeluasan 10 ekar pertama di Malaysia. - FOTO TRX
Ciri utama yang bakal diketengahkan The Exchange TRX adalah taman atas bumbung berkeluasan 10 ekar pertama di Malaysia. - FOTO TRX
Muhammad Najmir Razaman

PUSAT beli-belah berskala besar, The Exchange TRX kini dibuka secara langsung kepada umum bermula 29 November 2023.

Selain bakal menjadi destinasi tumpuan bagi aktiviti membeli-belah, bangunan seluas 70 ekar ini turut dilengkapi dengan daya tarikan yang tersendiri, menjadikan ia berbeza dengan pusat beli-belah yang lain.

Pembukaannya turut dijangka membuka pelbagai peluang pekerjaan baharu sekali gus

menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih stabil sambil memberikan keselesaan beriadah bersama keluarga.

Taman atas bumbung

Antara ciri utama yang bakal diketengahkan The Exchange TRX adalah taman atas bumbung berkeluasan 10 ekar pertama di Malaysia yang membolehkan pengunjung bersosial, bersukan dan beriadah bersama keluarga.

Ia dilengkapi dengan kawasan khas untuk meluangkan masa bersama keluarga termasuklah sudut permainan kanak-kanak serta kawasan terbuka yang menjadikannya sesuai bagi aktiviti sukan seperti berjoging dan yoga.

Tidak hanya terbatas untuk seisi keluarga, kawasan lapang taman atas bumbung ini juga efisien bagi aktiviti sosial dan meraikan pelbagai acara seni budaya seperti konsert atau festival perayaan sambil menikmati keindahan bandar Kuala Lumpur.

Lebih menarik, bersempena dengan pembukaannya juga, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti pertunjukan dron, bengkel lukisan Batik Krismas serta menyaksikan pertunjukan bunga api.

Jenama mewah antarabangsa pertama di Malaysia


Sesuai dengan tujuan utamanya menjadi pusat beli-belah ternama, The Exchange TRX bakal menempatkan pelbagai gedung barangan mewah antarabangsa.

Ia termasuklah cawangan pertama gedung serbaneka Seibu yang akan membawa lebih 400 jenama mewah fesyen kontemporari antarabangsa dan Jepun, yang mana kebanyakannya akan memasuki pasaran Malaysia buat kali pertama.

Selain itu, The Exchange TRX juga bakal membawa masuk jenama kecantikan popular dunia seperti produk penjagaan kulit mewah dari Switzerland, La Prairie serta salah satu jenama kosmetik mewah tertua di dunia, GUERLAIN yang bakal menjadi cawangan pertama dibuka di Malaysia.


Kedai jenama kecantikan kultus Drunk Elephant juga akan turut membuka kedai fizikal pertamanya di dunia dengan rekaan pintu batu bata dan mortar pada pintu masuk.

Bagi yang menggemari fesyen dengan konsep kontemporari pula, jenama Maison Kitsuné di The Exchange TRX pasti menjadi tumpuan. 

Ia adalah koleksi fesyen yang dipengaruhi oleh Paris dan Tokyo yang menggabungkan keselesaan dan kesederhanaan dengan kecanggihan yang kreatif. 

Menariknya, Maison Kitsuné turut membawakan Café Kitsuné bersebelahan butik tersebut buat penggemar kopi.

Pengunjung dapat merasai kopi beraroma dengan padanan manisan berkonsepkan Jepun-Perancis dengan citarasa eksklusif.

Ia juga antara cawangan pertama yang bakal dibuka buat julung kalinya di Malaysia.

Pelbagai pilihan restoran


Lantai bawah The Exchange TRX juga bakal dipenuhi dengan pelbagai pilihan restoran makanan Jepun iaitu Seibu Food Hall yang menawarkan makanan seperti ramen dan sushi buat santapan para pengunjung.

Tidak terhenti di situ, rangkaian restoran antarabangsa seperti Shake Shack, Amazonas by Kenny Hills dan Warung Eropa dan Las Meninas juga bakal dibuka di gedung beli-belah serba mewah ini bagi memenuhi cita rasa rakyat Malaysia.

Bersempena dengan perayaan Hari Natal yang bakal tiba, pengunjung juga berpeluang menebus pelbagai hadiah menarik apabila berbelanja di The Exchange TRX bermula 29 November 2023 ini.

Dengan pelbagai tarikan yang ada padanya, The Exchange TRX diyakini bakal menjadi pusat tumpuan baharu bagi sesiapa sahaja yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

Ikuti media sosial Facebook dan Instagram The Exchange TRX untuk perkembangan lanjut.

Muat turun aplikasi mudah alih Exchange TRX di Google Play Store dan Apple App store untuk navigasi dan ganjaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 5:42 PM