Kuala Lumpur: United Malayan Land Bhd (UMLand) komited merancakkan pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia menerusi pelaksanaan projek bercampurnya, Suasana Iskandar Malaysia yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2017.

Suasana Iskandar Malaysia yang terletak di pusat bandar Johor Bahru itu merangkumi pembangunan kediaman dalam segmen apartmen servis berstatus pegangan bebas, hotel, pusat beli-belah serta hiburan.

Pengurus Besar Kanan Pembangunan Projek UMLand Ken Ng berkata, bangunan apartmen servis setinggi 36 tingkat itu mempunyai 343 unit dengan luas lantai antara 644 kaki persegi hingga 1,235 kaki persegi.

Beliau berkata, unit kediaman itu dilancarkan secara berperingkat dan 100 unit pertama dimiliki dengan nisbah 50 peratus pembeli tempatan dan 50 peratus asing.

“Kami melancarkan sekitar 100 unit kediaman pada fasa kedua dan antara keunikan apartmen ini ialah bercirikan rumah pintar menggunakan teknologi Samsung.

“Tambahan pula, lokasi kediaman ini berhampiran dengan pintu masuk ke Singapura serta di kawasan pusat bandar memberi kemudahan kepada pembeli serta peluang pelaburan yang baik,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, baru-baru ini.

Apartmen servis Suasana Iskandar dijual pada harga bermula dari RM824,222 hingga RM1.62 juta seunit bergantung kepada keluasan kediaman yang ingin dibeli pembeli.

Sementara itu, Ken berkata, UMLand juga akan membangunkan sebuah hotel dikenali sebagai Amari Hotel yang menawarkan 242 bilik dan diuruskan oleh syarikat dari Thailand, Horwat HTL.

“Gabungan hotel dan pusat beli-belah ini membolehkan Suasana Iskandar jadi tarikan kepada pelancong terutama dari Singapura menikmati hiburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:07 AM