NAFISAH turut menanam pokok.
NAFISAH turut menanam pokok.
GEMBIRA selepas berjaya menanam pokok.
GEMBIRA selepas berjaya menanam pokok.
 PELAJAR dan guru bergambar kenangan.
PELAJAR dan guru bergambar kenangan.
Fazurawati Che Lah


Pokok buah-buahan seperti rambutan, manggis dan pulasan antara enam jenis anak pokok yang ditanam di persekitaran Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3, Shah Alam.

Inisiatif itu sebahagian daripada Program Dusun @MySekolah Shah Alam yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

SK Jalan U3 terpilih menyertai program berkenaan yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap alam sekitar.

Guru Besar Nafisah Salleh, berkata pihaknya berbesar hati apabila SK Jalan U3 terpilih dalam program berkenaan kerana dapat dijadikan satu medium pendidikan di luar bilik darjah sambil menghijaukan persekitaran sekolah.

“Program ini inisiatif MBSA dalam membantu sekolah memperkenalkan dusun era baru kepada pelajar bandar yang sebelum ini tidak pernah merasai atau mengetahui apa itu dusun secara realitinya.

“Selain itu, pokok ditanam juga membantu guru melaksanakan pembelajaran dan pemudah cara (PDPC) luar bilik darjah yang sudah pastinya menarik minat murid.

“Ia juga membantu murid berkomunikasi terus dengan pokok, mengetahui bahagian pokok, kegunaan dan kepentingannya,” katanya selepas pelancaran program itu, baru-baru ini.

Perasmian dilakukan Pegawai Pertanian MBSA Norhilwati Jahari.

Nafisah berkata, pokok lain ialah buah melaka, belimbing buluh dan cermai yang keseluruhannya sebanyak 20 pohon ditanam.

Katanya, pada hari pelancaran itu, murid tahun empat dan lima diajar mengendalikan penanaman anak pokok oleh MBSA.

Sehingga 2016 Program Dusun @ MySekolah Shah Alam menanam 1,974 pokok buah-buahan membabitkan 3,334 pelajar dari 39 sekolah sekitar Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 2:08 PM