KAWASAN dusun SK Taman Paroi Jaya.
KAWASAN dusun SK Taman Paroi Jaya.
Mohd Amin Jalil

Menyedari pentingnya sektor pertanian kepada kepentingan dan pembangunan masa depan negara, Badan Kebajikan Setaf Sekolah (BAKESS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan mewujudkan dusun dalam sekolah.

Projek yang bermula pertengahan April lalu dijayakan bersama guru, kakitangan dan murid sekolah berkenaan.

Biarpun hanya membabitkan kawasan yang kecil dengan keluasan kira-kira 1,000 kaki persegi, usaha itu dilihat berjaya apabila 14 jenis pokok buah-buahan tempatan ditanam di situ.

Antara pokok berkenaan ialah mangga chokanan, mata kucing, nanas, limau kasturi, nangka madu dan delima.

Pengerusi BAKESS Redzuan Ibrahim berkata, idea mewujudkan dusun itu lahir daripada kesedarannya menjadikan sekolah dalam taman.

Katanya, jika kebanyakan sekolah sebelum ini memilih pokok bunga sebagai tanaman utama, pihaknya menukar konsep itu dengan menanam pokok buah-buahan.

“Kami melihat tanaman buah-buahan lebih praktikal dan memberi impak lebih positif bukan saja dari segi hasilnya, tapi juga menepati keperluan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Selain buah-buahan itu nanti dapat dirasai dan dinikmati warga sekolah, murid juga berpeluang mempelajari kaedah penanaman serta penjagaan pokok, mengenali lebih dekat sesuatu jenis pokok sekali gus menjadikannya sebagai bahan pembelajaran secara langsung.

“Ini membolehkan murid mendapat pendedahan dan pengalaman berkenaan sektor pertanian, sekali gus boleh menanam minat mereka untuk menjadikan bidang berkenaan sebagai kerjaya pada masa depan,” katanya ketika ditemui.

REDZUAN memberikan taklimat kepada murid mengenai pokok yang ditanam di tapak projek dusun sekolah.
REDZUAN memberikan taklimat kepada murid mengenai pokok yang ditanam di tapak projek dusun sekolah.

Redzuan berkata, pihaknya membelanjakan RM1,400 bagi memulakan projek itu termasuk kos anak benih pokok, baja dan prasarana projek.

“Kami mendapat kerjasama baik daripada syarikat Rio Gemilang Nursery dari Senawang yang membekalkan anak benih pokok serta khidmat nasihat.

“Malah kami rasakan pelaburan ini amat berbaloi jika mengambil kira pulangan yang bakal diperoleh nanti terutama dari aspek pendidikan murid dan buah-buahan yang akan dapat dirasai warga sekolah.

“Malah, saya lihat murid seronok kerana dapat tahu cara menanam pokok dan ada guru sudah memulakan projek sama di kediaman masing-masing,” katanya.

Menurut Redzuan, pihaknya merancang memperbesarkan lagi kawasan tanaman itu dengan memanfaatkan sepenuhnya kawasan lapang di bahagian belakang bangunan sekolah.

Guru Besar SK Taman Paroi Jaya Suhaimi Norazi berkata, pihaknya memberikan sokongan terhadap projek itu sebagai langkah memupuk budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan 1,065 murid sekolah terbabit.

Katanya, menerusi projek itu, mereka dapat memanfaatkan kawasan tanah lapang di sekolah dengan menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan dan murid akan diberikan peluang meluangkan masa mengusahakan dusun dalam sekolah pada sesi kokurikulum.

Sementara itu, Pengurus syarikat Rio Gemilang Nursery Othman Saidon menyambut baik projek yang diusahakan sekolah itu dan menyifatkan satu langkah bijak ke arah menyemai minat masyarakat dan golongan muda terhadap bidang pertanian.

“Kami mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang ini dan sedia memberikan kerjasama serta khidmat nasihat kepada pihak sekolah yang ingin menjayakan projek dusun di sekolah,” katanya.

TEKNIK titisan air digunakan bagi memastikan pokok mempunyai bekalan air secukupnya.
TEKNIK titisan air digunakan bagi memastikan pokok mempunyai bekalan air secukupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 3:02 PM