TERDAPAT banyak pilihan buah-buahan  di Fiesta Buah Kuala Lumpur 2015.
TERDAPAT banyak pilihan buah-buahan di Fiesta Buah Kuala Lumpur 2015.
PERTANDINGAN melukis dan mewarna sempena Fiesta Buah Kuala Lumpur 2015 di Taman Dusun Bandar.
PERTANDINGAN melukis dan mewarna sempena Fiesta Buah Kuala Lumpur 2015 di Taman Dusun Bandar.
Oleh Umar Mohd Tawil


Kuala Lumpur: Penggemar buah-buahan tempatan mengambil peluang menikmati keenakan buah-buahan segar secara percuma sempena Fiesta Buah Kuala Lumpur 2015 di Taman Dusun Bandar, Lorong Bellamy, Istana Negara selama dua hari bermula semalam.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, program julung kali diadakan itu inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempromosikan Taman Dusun Bandar kepada pengunjung dalam usaha menarik pelancong tempatan dan antarabangsa datang berkunjung ke situ.

“Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung berpeluang menikmati 13 jenis buah tempatan secara percuma pada waktu ditetapkan iaitu pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan jam 2 petang hingga 4 petang.

“Saya percaya pengunjung terpegun apabila melangkah masuk ke taman ini kerana ia berkonsepkan dusun buah-buahan di tengah ibu kota dengan panorama yang indah,” katanya ketika merasmikan Fiesta Buah Kuala Lumpur 2015, di sini, semalam.

Menurutnya, program berkenaan mempromosikan fasiliti terdapat di taman ini seperti ruangan terbuka yang sesuai untuk riadah keluarga, bangunan dewan pelbagai guna, bangunan galeri dan pelbagai spesies pokok buah -buahan yang terdapat di taman ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak dan Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Omran Hashim.

Pelbagai buah-buahan tempatan segar boleh dinikmati pengunjung seperti durian musang king, langsat, rambutan, nangka, duku, jambu batu, pisang, belimbing, mata kucing, dokong, manggis, betik dan pulasan.

Loga Bala berkata, pesta itu juga bertujuan memberi pendedahan mengenai landskap dan hortikultur berkaitan khususnya pokok buah-buahan.

“Sebanyak 1,900 batang pokok buah daripada pelbagai spesies termasuk buah hutan dan nadir boleh didapati di dalam Taman Dusun berkenaan yang ditanam dengan keluasan tiga hektar.

“Di samping itu, lebih menyeronokkan pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai pokok buah-buahan dengan mengimbas kod bar yang berada di setiap pokok dengan telefon pintar menerusi aplikasi ‘e-Fruits Garden dengan cepat dan mudah,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Normila Yusof, 27, berkata, dia gembira dapat menikmati pelbagai jenis buah-buahan tempatan secara percuma di samping dapat mempelajari serba sedikit jenis pokok yang ditanam di sekitar tempat itu.

“Hari ini saya bawa anak-anak ke sini bagi mengisi masa lapang sempena musim cuti persekolahan dan suasana makan buah di tempat ini sangat menyeronokkan bagaikan seperti berada di dusun kampung halaman.

“Saya berharap penganjuran seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang, sekali gus dapat menggalakkan terutama anak muda berkunjung ke sini yang berkonsepkan pertanian sambil boleh menimba ilmu.

Festival dua hari bertemakan Pesta Citarasa itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik berbentuk pendidikan seperti program pertanian, klinik pokok, cabutan bertuah, pertandingan melukis dan mewarna bertemakan buah dan gerai jualan produk Industri Kecil dan sederhana (IKS) berasaskan buah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 9:10 AM