SAYUR-SAYURAN dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran.
SAYUR-SAYURAN dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran.
Zaitie Satibi

Pengintegrasian pertanian penting untuk pembangunan mampan dari segi pelbagai aspek kehidupan dan keperluan masyarakat bandar khususnya yang merangkumi bekalan bahan makanan, penghijauan persekitaran, pengurusan air dan bahan buangan bandar, pendidikan serta riadah.

Sekali gus ia meletakkan pertanian bandar antara yang praktikal untuk diketengahkan menerusi aktiviti menghasilkan, memproses, memasarkan makanan dan produk makanan menggunakan kaedah pengeluaran intensif.

Oleh itu, pelbagai kempen dilaksanakan bagi memberi fokus kepada beberapa kategori yang membabitkan beberapa aktiviti penanaman di bandar seperti kategori individu, komuniti, sekolah dan institusi.

Tujuannya supaya menarik pembabitan semua lapisan masyarakat dan kempen kesedaran pentingnya berkebun di bandar dapat disampaikan secara menyeluruh.

Menerusi Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang umpamanya, pengalaman menarik ditimba orang ramai apabila berpeluang memetik sendiri sayur-sayuran.

Menariknya, ia anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Kebun Komuniti Jalan Tuntung, Seksyen 20, Shah Alam, baru-baru ini.

AHLI Majlis MBSA Tan Ah Kow( kiri) memetik sayur diperhatikan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Asmah Mohd Zin (tengah) dan Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Tuntung Seksyen 20, Shah Alam Abdullah Abdul Hamid pada Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang anjuran MBSA .
AHLI Majlis MBSA Tan Ah Kow( kiri) memetik sayur diperhatikan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Asmah Mohd Zin (tengah) dan Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Tuntung Seksyen 20, Shah Alam Abdullah Abdul Hamid pada Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang anjuran MBSA .

Program sempena sambutan Hari Bumi 2018 itu bertujuan menyediakan platform kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan sayur-sayuran pada harga lebih murah dan segar. Di samping aktiviti jualan yang memberi sumber pendapatan tambahan kepada persatuan penduduk.

Selain sayur-sayuran yang ditawarkan pada harga serendah RM1 seikat, program ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi sekali gus berupaya menyatukan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Shah Alam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, kebun komuniti di Shah Alam ini sebahagian daripada komponen dalam penilaian Pertandingan Zon Bersih Mini (MiniZeebee) dan menjadi satu program yang dapat membantu melahirkan masyarakat mampan serta meningkatkan kehidupan di bandar.

ORANG ramai hadir untuk memetik sendiri sayur-sayuran.
ORANG ramai hadir untuk memetik sendiri sayur-sayuran.

“Dalam program ini, orang ramai berpeluang memetik sendiri sayur-sayuran yang segar dan dijual dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

“Ini sedikit sebanyak membantu mereka menangani beban sara hidup yang kian meningkat dan pada masa sama memelihara alam sekitar.

“Kami juga ingin menggalakkan penduduk menanam sayur-sayuran untuk keperluan sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan seharian, selain tidak terlalu bergantung kepada faktor luar untuk mendapatkannya,” katanya.

SEORANG penduduk memetik kacang panjang dan petola dari kebun komuniti.
SEORANG penduduk memetik kacang panjang dan petola dari kebun komuniti.

Terdapat 10 kebun komuniti dalam kawasan pentadbiran Shah Alam yang turut menjalankan jualan sayur kepada orang ramai iaitu Kebun Komuniti Surau Al-Husna Seksyen 20, Kebun Komuniti Seksyen 24 Setia dan Seksyen 24, Kebun Komuniti Pangsapuri Melati Taman Bukit Subang dan Kebun Komuniti Sri Nervillia Kota Kemuning.

Diikuti Kebun Komuniti Seksyen 19A, Kebun Komuniti Seksyen 17/2, Kebun Komuniti Kampung Bukit Cerakah Seksyen U15, Kebun Komuniti Seksyen 8 Fasa 1 dan Kebun Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam.

TERUNG antara yang menjadi pilihan dalam Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang.
TERUNG antara yang menjadi pilihan dalam Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang.

Shahrin berkata, kebun komuniti juga menawarkan jualan anak pokok, biji benih, baja kompos dan buah-buahan tempatan.

“Melalui program ini pihak MBSA ingin memberikan pengalaman memetik sendiri sayur kepada orang ramai dan aktiviti memetik sayur-sayuran ini juga akan dipopularkan supaya ia menjadi trend.

“Ini kerana, kami juga ingin menggalakkan masyarakat memakan sayur-sayuran untuk pemakanan lebih sihat dan membantu mengurangkan obesiti serta menghindarkan penyakit yang mempunyai kaitan dengan gaya hidup,” katanya.

 KACANG panjang antara yang sedia dipetik.
KACANG panjang antara yang sedia dipetik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:53 PM