KAKITANGAN Prolintas bersama penerima sumbangan. FOTO Ihsan Prolintas.
KAKITANGAN Prolintas bersama penerima sumbangan. FOTO Ihsan Prolintas.
Wartawan HM

SEMPENA sambutan Aidiladha tahun ini, Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) menyumbang 13 lembu untuk dikorbankan, dan dagingnya diagihkan kepada lebih 1,300 keluarga asnaf.

Keluarga asnaf ini tinggal berhampiran kesemua jajaran lebuh raya seliaannya seperti Ampang, Keramat, Cheras, Kajang, Shah Alam, Subang dan Sungai Buloh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, program ini adalah agenda tahunan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan hampir setiap tahun sejak Prolintas beroperasi 25 tahun lalu.

"Kami bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memastikan tiada keluarga asnaf yang tercicir daripada menerima agihan daging korban ini.

"Ini juga satu daripada program dijalankan syarikat dalam usaha mendampingi masyarakat di sekitar jajaran lebuh raya kami," katanya pada majlis penyerahan daging korban di Wisma MBSA Shah Alam, semalam.

Majlis disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Exco Selangor, Ir Izham Hashim.

MOHAMAD Azlan (kanan) menyerahkan sumbangan Prolintas kepada Haris disaksikan Ir Izham (dua dari kanan) dan Mohd Rashidi (kiri). FOTO Ihsan Prolintas.
MOHAMAD Azlan (kanan) menyerahkan sumbangan Prolintas kepada Haris disaksikan Ir Izham (dua dari kanan) dan Mohd Rashidi (kiri). FOTO Ihsan Prolintas.

Mohammad Azlan berkata, tahun ini, Prolintas bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi majlis pengedaran daging korban di Shah Alam.

Beliau berkata, pihaknya turut menyumbang seekor lembu untuk dikorbankan dan dagingnya diagih kepada kakitangan MBSA.

"Kerjasama ini adalah kesinambungan dari program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang anjuran kedua-dua pihak sebelum ini," katanya.

Sebelum iu, beberapa siri pengagihan daging korban sudah dijalankan seperti di Pusat Perumahan Rakyat Jelatek, Kampung Tasek Permai, Alam Damai, Kampung Melayu Ampang, Kampung Sungai Ramal Luar, Bukit Subang, Taman Sri Lembayung dan Kota Damansara.

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan berikutan penularan wabak Covid-19, pengedaran dijalankan kakitangan lebuh raya Prolintas secara berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 2:59 PM