PEKAN tak mahu kontinjen negara ke Paris sekadar pelengkap temasya. FOTO Bernama
PEKAN tak mahu kontinjen negara ke Paris sekadar pelengkap temasya. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jumlah kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijangka jauh lebih kecil berbanding edisi-edisi sebelum ini bukanlah perkara perlu menjadi tumpuan.

Sebaliknya, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, apa yang sepatutnya lebih penting ialah kualiti atlet negara bertanding berbanding kuantiti.

"Saya memang tak kisah jumlah kontinjen kali ini kecil kerana apa yang penting untuk saya ialah atlet yang beraksi itu layak secara merit. Ini bermakna mereka sememangnya mempunyai potensi dan diharap mampu beri cabaran di Sukan Olimpik.

"Kalau layak menerusi tiket wild card, kebiasaannya sasaran untuk mereka ini hanya nak timba pengalaman. Jadi dalam konteks sekarang, saya nampak atlet yang pergi ke Olimpik memang berkualiti," katanya ketika dihubungi.

Jelas Pekan, tidak ada gunanya mempunyai jumlah kontinjen besar namun pada akhirnya atlet negara tidak mempamerkan keputusan yang baik atau hanya sekadar pelengkap di Olimpik.

"Sekarang ini kira-kira 12 atlet sudah layak ke Olimpik termasuk badminton yang belum berakhir kempen kelayakan. Pada pengiraan saya tidak akan berlaku pertambahan yang ketara selepas ini.

"Untuk pungutan pingat pula, saya lihat prestasi atlet negara setakat ini belum meyakinkan dan mereka perlu bekerja keras untuk memenangi pingat," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi laporan sebelum ini tidak menolak kemungkinan Malaysia akan menghantar jumlah kontinjen kecil di Paris selepas beberapa acara seperti skuad hoki lelaki gagal layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Terdahulu, Ketua Kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan sekurang-kurangnya 20 atlet negara akan melayakkan diri ke temasya dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Untuk rekod, Malaysia dibarisi 30 atlet di Olimpik Tokyo 2020, 32 di Rio (2016), 29 di London (2012), 32 di Beijing (2008), 26 di Athens (2004), 40 di Sydney (2000), 35 di Atlanta (1996) dan 26 di Barcelona (1992).

Penyertaan kontinjen Malaysia paling sedikit adalah pada 1988 di Olimpik Seoul dengan hanya sembilan atlet bertanding manakala paling ramai adalah di Olimpik Tokyo 1964 dengan 62 atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:31 PM