MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menolak kemungkinan Malaysia akan menghantar jumlah kontinjen kecil ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jangkaan itu selepas menyaksikan skuad hoki lelaki negara gagal layak ke temasya sukan terbesar dunia itu pada Januari lalu.

"Saya percaya atlet kita sudah melakukan yang terbaik dan kalau ada tak layak, mereka kena menerimanya. Kita akan buat penambahbaikan dan itu sebab Road To Gold sudah mengenalpasti LA2028 (Los Angeles 2028).

"Kita sudah meletakkan atlet yang kita rasa ada peluang ke LA2028 ke dalam program Fast Track pada ketika ini.

"Masih ada dalam proses kelayakan dan harap yang masih dalam proses itu berjaya. Apabila hoki tak layak, kita tahu kontinjen akan menjadi kecil," kata Hannah kepada media pada sidang media kerjasama antara KBS dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), hari ini.

Hannah berkata, beliau bersama KBS mahu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan bakat selepas ini.

"Kita perlu mempunyai barisan pelapis yang ramai. Kita tak boleh bergantung kepada atlet senior sahaja dan akan tiba masanya mereka perlu bersara," katanya.

Selain hoki, turut terlepas peluang ke Paris 2024 adalah ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng, namun ada beberapa lagi sukan seperti berbasikal, angkat berat dan olahraga yang masih dalam proses kelayakan.

Ketika ini, hanya lima atlet layak secara rasmi ke Paris 2024 iaitu Bertrand Rhodict Lises dari sukan terjun; Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong Guanjie (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuhraya).

Sebelum ini, Ketua Kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan sekurang-kurangnya 20 atlet negara akan melayakkan diri ke temasya dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Hamidin dilaporkan berkata, jumlah atlet itu boleh dicapai dengan beberapa jenis sukan seperti renang, angkat berat, badminton, golf, gimnastik artistik, memanah, olahraga, ping pong dan taekwondo masih dalam proses kelayakan.

Untuk rekod, Malaysia dibarisi 30 atlet di Olimpik Tokyo 2020, 32 di Rio (2016), 29 di London (2012), 32 di Beijing (2008), 26 di Athens (2004), 40 di Sydney (2000), 35 di Atlanta (1996) dan 26 di Barcelona (1992).

Penyertaan kontinjen Malaysia paling sedikit adalah pada 1988 di Olimpik Seoul dengan hanya sembilan atlet bertanding manakala paling ramai adalah di Olimpik Tokyo 1964 dengan 62 atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 4:31 PM