Datuk Lee Chong Wei (kiri) bersama pemain perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia di satu majlis baru-baru ini.
Datuk Lee Chong Wei (kiri) bersama pemain perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia di satu majlis baru-baru ini.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Mungkin ada hikmahnya nanti, jelas ketua kontinjen negara, Datuk Lee Chong Wei selepas menyedari persiapan atlet ke Olimpik Tokyo kali ini sangat berbeza seperti sebelum ini apabila dihimpit dengan masalah Covid-19.

Menurut legenda badminton negara itu, walaupun berdepan kesukaran berbanding edisi sebelum ini beliau percaya ia turut mampu memberi kelebihan buat atlet negara terutamanya yang bukan pilihan di Tokyo nanti.

"Biarpun persiapan atlet negara bagi menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu kali ini sangat berbeza berbanding edisi-edisi terdahulu, namun mungkin ada hikmahnya yang tersendiri," katanya yang meraih tiga perak di Olimpik Beijing (2008), London (2012) dan Rio (2016).

Katanya, dalam kalendar sukan yang normal, persiapan bagi menghadapi Olimpik biasanya mengambil masa satu hingga dua tahun.

"Ketika itulah anda memburu slot untuk layak ke Olimpik, mengumpul mata ke Olimpik dan melepasi had kelayakan ke Olimpik.

"Apabila temasya semakin hampir, sudah pasti anda akan mempertajamkan lagi kemahiran dan menguatkan lagi mental menerusi program khas yang diuruskan MSN (Majlis Sukan Negara) atau persatuan sukan masing-masing.

"Kini, kurang sebulan sebelum temasya terbesar dunia itu bermula. Saya akui kali ini sangat berbeza," kata Chong Wei.

Jelasnya, Olimpik yang berlangsung dalam situasi pandemik menyukarkan untuk melakukan persiapan jika dibandingkan sebelum ini.

"Namun, perbezaan dan kesukaran itu mungkin bertukar menjadi kelebihan buat atlet yang bukan pilihan. Ini adalah masa yang mana hanya yang kuat akan bertahan," kata Chong Wei.

Badminton terus menjadi skuad terbesar buat kontinjen negara ke Tokyo apabila pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita Soniia Cheah; beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sudah melayakkan diri.

Mereka bakal disertai Khairul Anuar Mohamad (memanah), Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee (terjun), dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik).

Serta empat atlet pelayaran - Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.

Selain, dua pemain golf profesional, Gavin Green dan Kelly Tan disahkan layak, Selasa lalu manakala Welson Sim, Phee Jinq En (renang), Lee Hup Wei dan Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik artistik) turut berpeluang untuk beraksi di temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 6:58 PM