Atlet gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi (kanan) ketika sidang media khas mengenai persaraannya. FOTO Bernama
Atlet gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi (kanan) ketika sidang media khas mengenai persaraannya. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi percaya Malaysia tidak perlu menunggu lebih lama untuk melihat atlet gimnastik negara layak beraksi di Sukan Olimpik selepas dirinya mengumumkan persaraan.

Sebaliknya, atlet berusia 27 tahun yang layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu itu yakin akan ada atlet negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Jelas Farah, keyakinannya itu bersandarkan kepada barisan atlet negara ketika ini yang sememangnya mempunyai potensi besar untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

"Saya sangat yakin atlet (gimnastik) negara lelaki dan wanita akan layak ke Paris. Sudah pasti akan berlaku perubahan peraturan setiap empat tahun untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Tidak terkecuali pada kali ini terutama ketika musim pandemik. Memang akan lebih sukar tetapi dengan atlet berbakat yang ada di dalam pasukan sekarang, saya percaya ada atlet negara akan layak ke Olimpik Paris.

"Saya juga berharap akan ada atlet negara yang layak pada setiap edisi Sukan Olimpik selepas itu," katanya.

Farah muncul gimnas ketiga Malaysia layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada edisi 2000 (Sydney) dan Shu Wai pada 2004 (Athens).

Dia berjaya melayakkan diri ke Tokyo 2020 selepas menduduki tempat ke-59 daripada 234 pesaing secara individu pada Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman 2019.

Selain Farah yang beraksi dalam acara individu all around wanita, turut layak ke pentas Olimpik Tokyo adalah gimnas lelaki negara, Jeremiah Loo menerusi acara individu all around lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 5:16 PM