SEBAHAGIAN daripada sukarelawan yang akan bertugas di Sukma 2022.
SEBAHAGIAN daripada sukarelawan yang akan bertugas di Sukma 2022.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Seramai 700 sukarelawan bersiap sedia untuk membantu melancarkan perjalanan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan berlangsung selama sembilan hari bermula 16 hingga 24 September ini.

Sukarelawan Sukma yang digelar 'Satria' itu ditugaskan untuk membantu di semua venue kejohanan iaitu di Kuala Lumpur, Bangi, Bukit Jalil, Shah Alam dan juga Langkawi, Kedah.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memaklumkan pihak mereka menerima sebanyak 10 ribu permohonan untuk menjadi sukarelawan pada awalnya, namun jumlah itu terpaksa dikurangkan sehingga menjadi 700 sahaja.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jana Santhiran Muniayan merangkap Pengerusi Pengelola Jawatankuasa Sukan Malaysia melancarkan Majlis Perlepasan Penugasan Satria Sukma, hari ini berkata: "Program ini membabitkan penganjur Sukma iaitu MSN bersama sukarelawan yang berdaftar dan mereka akan membantu kami dalam kesemua 31 sukan dipertandingkan.

"Kami sedang meneliti persiapan akhir pada peringkat ini dan pasukan-pasukan negeri sudah mula membuat pendaftaran.

"Kami juga memberikan taklimat kepada mereka mengenai perjalanan Sukma kali ini merangkumi acara sukan, penginapan, makan minum dan sebagainya.Tiada apa yang mereka perlu risaukan," katanya.

Jana turut memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) kesihatan Covid-19 tetap akan dijalankan dengan ketat di dalam temasya kali ini.

Seandainya terdapat atlet disahkan positif, maka dia akan diasingkan dan perlu dikuaratin, manakala ahli pasukannya perlu menjalani ujian saringan sebelum dibenarkan bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 3:52 PM