KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO FB MSN
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO FB MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) mengingatkan atlet bertanding di Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2022 untuk mematuhi saranan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) agar mengisytiharkan segala bahan perubatan diambil mereka bagi mengelak terbabit dengan kesalahan doping.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya dan Adamas sudah mengadakan beberapa siri pembentangan kepada semua kontinjen bertanding berhubung perkara itu dan berharap temasya bermula esok bebas daripada sebarang kontroversi doping.

"Kita faham atlet para ini ada menggunakan bahan perubatan bagi merawat kekurangan mereka itu. Mereka sudah diberikan taklimat dan dimaklumkan mengenai perkara ini.

"Jadi, kita berharap mereka sudah mengambil langkah seperti dinasihatkan pihak Adamas supaya mengisytiharkan ubat-ubatan yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka agar ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan dalam doping sekiranya dikesan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Selamat Datang dan Menaikkan Bendera Kontinjen Para Sukma 2022, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Para Sukma 2022 yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Pada Sukma 2022 September lalu, tiga atlet angkat berat membabitkan dua dari Terengganu dan seorang dari Perlis diuji positif doping, sekali gus dilarang bertanding pada temasya edisi ke-20 itu.

Temasya Para Sukma 2022 yang bermula esok sehingga 6 November akan mempertandingkan sebanyak 10 jenis sukan membabitkan 294 acara dengan penyertaan 15 kontinjen negeri.

Ditanya mengenai persiapan penganjuran Para Sukma kali ini, Ahmad Shapawi berkata, pihaknya sudah mempunyai pelan atlernatif sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan sepanjang temasya berlangsung.

"Kami mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dan akan cuba menyusun semula jadual pertandingan sekiranya cuaca tidak menentu dan kami seboleh-bolehnya tetap mahu menghabiskan temasya kali ini pada 6 November.

"Namun, kami akan tengok dulu nanti keadaan dan sekiranya berlaku apa-apa yang menyebabkan pertandingan tertangguh, kami akan ada pelan alternatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 4:49 PM