SUKMA Kuala Lumpur bakal disertai 6,606 atlet. FOTO OWEE AH CHUN
SUKMA Kuala Lumpur bakal disertai 6,606 atlet. FOTO OWEE AH CHUN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 426 acara membabitkan 223 acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan bakal dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 bermula dari 16 hingga 24 September ini.

Jawatankuasa Pengelola Sukma yang bermesyuarat pada hari ini turut mengesahkan penyertaan Brunei dalam temasya kali ini, yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dan Langkawi, Kedah.

Seperti biasa, sukan olahraga dan akuatik menjadi lubuk emas apabila masing-masing menawarkan 44 dan 43 pingat emas, diikuti kanu (33), berbasikal (30), menembak (26), pencak silat (26), wushu (25) dan gimnastik (21).

Tinju (12 acara), bola sepak (satu) dan kriket (satu) hanya membabitkan kategori lelaki, manakala esukan menawarkan lima emas tanpa mengira jantina (campuran).

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, berdasarkan pendaftaran pada senarai pendek 10 Ogos lepas, sejumlah 6,606 atlet dan 1,811 pegawai daripada 15 kontinjen bertanding mengesahkan penyertaan untuk Sukma kali ini.

Wilayah Persekutuan menghantar kontinjen terbesar dengan penyertaan sejumlah 736 atlet dan pegawai, diikuti rapat oleh Sarawak (734), Perak (698), Johor (688) dan Kedah (683), manakala Brunei menjadi kontinjen terkecil dengan 42 orang.

Jana Santhiran berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijadikan sebagai kluster perkampungan utama yang menempatkan 4,203 orang, Universiti Malaya (2,218), Universiti Teknologi Mara (1,208), Universiti Tenaga Nasional (429), Dayang Bay Resort Langkawi (219) dan Pusat Kecemerlangan Paralimpik MSN (303).

"Sebanyak 43 venue pertandingan di lima zon dikenal pasti, iaitu Kuala Lumpur (lapan jenis sukan dan dua sukan demonstrasi di 10 venue), Bangi (sembilan sukan di 13 venue), Bukit Jalil (sembilan sukan di 10 venue), Shah Alam (lapan sukan di sembilan venue) dan Pulau Langkawi (perahu layar).

"Bola sepak adalah sukan pertama yang akan memulakan sepak mula pada 12 September dan seterusnya tiga sukan - wushu, berbasikal lebuh raya dan sepak takraw - akan memulakan aksi pada 14 September," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Majlis perasmian dan penutup masing-masing dijadualkan pada 17 dan 24 September di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 9:34 PM