IBRAHIM (kiri) dan Ahmad Faizal (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Penarafan Bintang Sukan Tahun 2021 di MSN, hari ini. FOTO Bernama
IBRAHIM (kiri) dan Ahmad Faizal (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Penarafan Bintang Sukan Tahun 2021 di MSN, hari ini. FOTO Bernama
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Notis cadangan pembatalan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) sudah dikeluarkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada 15 September lalu.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof yang memaklumkan PSM mempunyai tempoh sehingga Jumaat ini untuk mengemukakan rayuan bagi mengelakkan pembatalan persatuan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan dan mengulas lanjut mengenai sebab utama notis itu dikeluarkan kepada PSM.

"Buat masa ini PSM masih belum dibatalkan, ia cuma notis cadangan pembatalan dan mereka perlu kemukakan sebab untuk kita semak kembali sama ada mereka perlu dikekalkan atau sebaliknya.

"Setakat hari ini kami masih belum menerima sebarang makluman daripada pihak PSM," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penarafan Bintang Badan Sukan 2022 di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau sedang berusaha untuk menyatukan pihak PSM yang sedang berdepan konflik dengan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (Mastaf).

"Saya sendiri sedang mengadakan libat urus perundingan dengan pihak PSM dan Mastaf, akhirnya apa yang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu adalah sukan sepak takraw itu kita martabatkan dan perkasakan, dan bukannya persatuan sukan berselisih sesama sendiri dan merugikan persatuan itu sendiri.

"Jadi, saya mahu mencari jalan tengah dan tidak mahu memberi komen yang banyak. Saya mahu cari jalan yang mengharmonikan semua kepimpinan sepak takraw di semua peringkat supaya kita benar-benar dapat perkasakan sukan ini," katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran Muniayan; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:40 PM