SUHAIMI pelik mengapa masih ada pihak yang ‘panas hati’ biarpun bekas Presiden PSM Ahmad mengundurkan diri. FOTO Ihsan Suhaimi Yusof
SUHAIMI pelik mengapa masih ada pihak yang ‘panas hati’ biarpun bekas Presiden PSM Ahmad mengundurkan diri. FOTO Ihsan Suhaimi Yusof
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas pemain sepak takraw negara, Suhaimi Yusof berang dengan sikap segelintir pihak yang menjadikan sukan sebagai agenda politik yang akhirnya memusnahkan pembangunan sukan sepak takraw negara.

Sebagai seorang bekas pemain yang pernah menyumbang kepada negara, Suhaimi meluahkan rasa kecewa apabila masih ada lagi individu yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran badan induk itu iaitu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Bekas pemenang pingat emas di Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan Sea Manila 1991 berkata, dia pelik mengapa masih ada pihak yang 'panas hati' biarpun bekas Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail mengundurkan diri.

"Sepatutnya pemimpin-pemimpin negeri ini fikir macam mana nak naikkan balik maruah sukan ini. Dulu hampir semua tak sukakan Tok Mat tapi bila Tok Mat dan tak ada kenapa perlu ada lagi salah faham dan tak puas hati.

"Kalau betul nak menyumbang bergabung bagi tahu apa yang tak betul dan tak perlu tubuh persatuan baru. Nak tubuh persatuan baru itu apa tujuan.

"Saya nak bagi tahu, ini persatuan sukan bukan parti politik. Tak suka boleh lompat parti. Tukar ikut suka," katanya.

Suhaimi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Daerah Klang menyuarakan pandang itu selepas masih lagi wujud ketidakpuasan hati terutama daripada Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran yang mencari salah PSM.

"Maaf cakaplah, kami ini nak sepak takraw maju. Ini asyik bercakap pasal orang itu orang ini. "Kalau nak ikutkan prestasi Selangor pun tak ada kejohanan di bawah kepimpinan dia (Markiman).

"Dulu cakap tak suka Tok Mat tapi bila Tok Mat dah tak ada benda ini berlaku lagi," katanya.

Terdahulu, Markiman meluahkan rasa tidak puas hati apabila PSM dikatakan cuba melanggar undang-undang Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Ia susulan kehadiran bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang hadir ke upacara perasmian Liga Sepak Takraw (STL) awal bulan lalu.

Kehadiran Ahmad menjadi persoalan kerana ia dilihat melanggar hukuman yang dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 9:59 PM