TOK Mat digantung 17 tahun oleh Astaf.
TOK Mat digantung 17 tahun oleh Astaf.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Susulan hukuman penggantungan terhadap Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail atau lebih dikenali Tok Mat kekal 17 tahun seperti diputuskan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) semalam, bekas Timbalan PSM, Shapian Ali menggesa beliau meletakkan jawatan segera bagi memberi peluang kepada ahli gabungan baharu membentuk jawatankuasa.

Bekas orang kanan Tok Mat bermula 2010 hingga 2014 itu berkata, jawatankuasa baharu PSM perlu segera dibentuk agar imej dan maruah sukan sepak takraw negara tidak terus tercalar selepas PSM digantung oleh Astaf.

Katanya, dengan perkembangan terkini kemelut melanda PSM, bermakna Tok Mat tidak lagi ada kuasa untuk memimpin persatuan dan beliau perlu insaf berikutan kesilapan dilakukan dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

Shapian yang pernah bertanding merebut jawatan Presiden PSM pada 2014 sebelum tewas kepada Tok Mat juga mengharapkan Pesuruhjaya Sukan lebih cergas dan aktif memainkan peranannya dalam menangani kemelut itu bukannya mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Sebagai bekas orang kanan Tok Mat, saya mahukan beliau menerima hukuman dengan hati terbuka dan berlapang dada kerana kesilapan diri sendiri sesudah gagal membuat rayuan dalam masa ditetapkan Astaf biarpun diberi peluang membuat rayuan.

"Dengan tempoh hukuman penggantungan 17 tahun itu, saya fikir beliau (Tok Mat) harap sedar dan perlu berundur seberapa segera jika beliau sayangkan sukan tradisi ini terus kukuh di rantau ini.

"Mengenai sebelas ahli gabungan yang keluar daripada PSM itu adalah tindakan berani dan bijak kerana merekalah yang membangunkan sukan itu bukannya PSM, malah sebelum ini PSM tidak menyalur pun sumber kewangan kepada persatuan negeri walaupun badan induk itu menerima sumbangan dana daripada pihak tertentu.

"Namun mereka perlu segera menubuhkan jawatankuasa baharu dengan memberi peluang kepada mereka yang mempunyai idea lebih baik dan berintegriti berada dalam persatuan, usah ambil orang-orang lama ibarat kain buruk tak perlu lagi, hanya boleh sapu air mata sahaja.

"Pesuruhjaya Sukan juga perlu lebih cergas dan aktif dalam soal ini dan bukannya lebih bersikap tunggu dan lihat kerana ini melibatkan imej dan maruah sukan sepak takraw negara di dunia," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 2:59 PM