AHMAD Ismail berdepan hukuman daripaa Astaf. FOTO Owee Ah Chun
AHMAD Ismail berdepan hukuman daripaa Astaf. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Nasib Persatuan Sepaktaraw Malaysia (PSM) sebenarnya terletak di tangan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail dan apa jua tindakan yang diambil oleh beliau itu akan membawa kepada hala tuju masa depan badan induk itu.

Tempoh yang cukup sudah diberikan dengan Ahmad atau dikenali dengan panggilan Tok Mat sendiri memilih untuk tidak membela dirinya dan mendiamkan diri tanpa sebarang rayuan selepas Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) menjatuhkan hukuman.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran yang sebelum ini tetap dengan pendirian untuk menubuh satu entiti sepak takraw berkata, Tok Mat sudah diberi tempoh yang cukup dan beliau sendiri sudah memilih jalannya.

"Sekarang ini tiada peluang dan ruang untuk dia. Pintu sudah tertutup. Dia sudah diberi masa untuk merayu tapi dia tidak buat, bagi masa pertahankan diri pun dia tak buat.

"Jadi sekarang ini apa yang boleh dia nak buat. Dia sepatutnya selesakan semua perkara di peringkat organisasi sebelum bawa perkara itu ke mahkamah, tapi sekarang ini mahkamah mana yang nak kes seperti ini," katanya.

Kelmarin, Astaf menjatuhkan hukuman tambahan selama dua tahun akibat gagal menyelesaikan denda AS$25,000 (RM102,937) mengikut tarikh yang ditetapkan bagi menampung kos perbicaraan keseluruhan pada 6 Mei lalu.

Ia adalah lajutan hukuman penggantungan 15 tahun selepas didapati bersalah atas pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf dengan menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mereka akan campur tangan terhadap keputusan pemilihan yang berlangsung 1 Mac lalu.

Dengan apa yang berlaku dalam PSM ketika ini Markiman berkata, beliau mendoakan yang terbaik kepada Tok Mat dan berharap Tok Mat mengikut peraturan sekiranya mahu orang lain mengikut peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 8:09 PM