AKRAMUDIN yakin masih ada ruang dan peluang buat semua berbincang demi masa depan sepak takraw negara. FOTO OWEE AH CHUN
AKRAMUDIN yakin masih ada ruang dan peluang buat semua berbincang demi masa depan sepak takraw negara. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tidak perlu satu persatuan baru dan sekiranya ahli gabungan tidak bersetuju dengan kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ketika ini, PSM bersedia untuk mengadakan pemilihan dalam masa terdekat ini.

Itu kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka, Datuk Akramudin Aziz yang masih berdiri teguh berdiri di belakang pentadbiran PSM ketika ini biarpun sembilan ahli gabungan mengumumkan pengunduran daripada badan induk itu.

Akramudin yakin masih ada ruang dan peluang buat semua berbincang demi masa depan sepak takraw negara dan apa yang dijelaskan oleh Pesuruhjaya Sukan itu memperlihatkan bahawa PSM boleh meneruskan agenda pada masa akan datang.

"Semuanya terpulang kepada perlembagaan PSM dan PJS ada menyatakan bahawa kita boleh adakan EGM (mesyuarat agung luar biasa). Pertama dengan kehendak presiden dan kemudian dua pertiga sokongan ahli gabungan dan ahli majlis tertinggi PSM.

"Jadi saya melihat ada ruang dan peluang untuk berbincang dan kenapa harus tinggalkan PSM pada ketika ini.

"Bagi saya tak perlu tubuhkan persatuan baru sebab PSM sudah senonim dengan sepak takraw. Nak jawatan tak ada masalah. Saya, Tok Mat (Datuk Seri Ahmad Ismail) dan yang lain boleh undur diri dan kepimpinan baru boleh ambil alih.

"Kami akan beri sokongan penuh pada pentadbiran baru kerana yang penting sekarang ini adalah PSM itu sendiri," katanya.

Akramudin berkata, beliau yakin Tok Mat akan memberi kenyataan dalam tempoh terdekat ini dan AGM mungkin akan diadakan.

"Saya tiada masalah untuk kita adakan pemilihan dan kepada sesiapa yang berhajat mereka boleh ambil, ambillah jawatan yang diinginkan dan kami akan berikan sokongan penuh kepada mereka.

"InsyaAllah PSM akan adakan AGM secepat mungkin bagi kita mengambil satu jalan yang sesuai untuk kita pastikan sukan sepak takraw kembali dimartabatkan.

"Apa yang penting adalah pembangunan sukan ini. PSM tak penting, Tok Mat tak penting dan saya juga tak penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 10:24 PM