KHAIRY Jamaluddin menegaskan KKM akan meneliti sistem pengudaraan dan mengeluarkan beberapa panduan dari MKN. FOTO Bernama
KHAIRY Jamaluddin menegaskan KKM akan meneliti sistem pengudaraan dan mengeluarkan beberapa panduan dari MKN. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Operator gimnasium perlu menunggu sedikit masa sebelum boleh memulakan operasi ketika beberapa pusat sukan seperti padang bola sepak dan gelanggang badminton dibenarkan mulai esok.

Ia dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin apabila pihaknya perlu meneliti dan mengkaji beberapa aspek membabitkan aktiviti di gimnasium atau gim itu.

Katanya, antara aspek yang menjadi keutamaan adalah dari segi sistem pengudaraan di mana kebiasaanya gim beroperasi di dalam premis tertutup yang mungkin boleh mendatangkan risiko jangkitan Covid-19.

"Untuk gimnasium, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan meneliti sistem pengudaraan dan mengeluarkan beberapa panduan dari MKN yang perlu dipatuhi.

"Ini akan memakan sedikit masa di mana sifat pusat kecergasan yang tertutup ini menyebabkan kita perlu menekankan aspek pengudaraan dengan baik. Kami akan mengusahakannya secepat mungkin," kata Khairy di laman sosial miliknya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi lampu buat semua aktiviti sukan, riadah dan rekreasi termasuk pengusaha sukan tertutup kembali beroperasi mulai esok.

Ia susulan laporan khas Arena Metro yang menyaksikan ramai pengusaha mengeluh apabila terpaksa gulung tikar ekoran penutupan sektor itu beberapa kali sejak tahun lalu.

Malah, ada yang terpaksa berhutang keliling pinggang termasuk mendapatkan bantuan kewangan dari ceti haram bagi membayar sewaan kedai dan gaji pekerja, sedangkan operasi masih ditutup.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan KKM kerana membenarkan pembukaan semula sektor itu.

"Terima kasih YB KJ (Khairy Jamaluddin). Menteri yang terbaik. Mari kita bantu operator gym pula," kata Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:22 PM