BEKAS Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan. FOTO Zunnur Al Shafiq
BEKAS Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan. FOTO Zunnur Al Shafiq
Firdaus Hashim


"KJ (Khairy Jamaluddin) lebih layak berbanding Datuk Hamidin Mohd Amin dan Tan Sri Annuar Musa. FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memerlukan presiden yang dinamik dan berani untuk menaikkan kembali taraf bola sepak negara".

Demikian pandangan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan yang mengganggap bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai individu paling tepat untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Mac lalu.

Bagaimanapun, Khairy yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM dari 2007-2010 tidak dicalonkan mana-mana ahli gabungan sebaliknya perebutan kerusi panas itu hanya membabitkan Hamidin dan Annuar.

"Saya tidak tahu sama ada mereka (Hamidin dan Annuar) layak atau tidak, tetapi buat masa sekarang kita perlukan seorang pemimpin berkaliber.

"Bagi saya ia bukan soal pengalaman semata-mata. Kita perlukan pemimpin dinamik dan mempunyai sifat kepimpinan tinggi selain harus memiliki hubungan rapat dengan kerajaan bagi melicinkan lagi pengurusan bola sepak di Malaysia.

"Seharusnya Khairy dicalonkan kerana beliau mempunyai pakej lengkap itu berbanding Hamidin dan Annuar yang saya kira hanya sesuai sebagai 'operation man' saja," katanya ketika ditemui di Kelab DiRaja Selangor, Bukit Kiara, hari ini.

Pemilihan Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai ini menyaksikan pertandingan dua penjuru membabitkan Setiausaha Agung FAM iaitu Hamidin dan Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan.

Berdasarkan kertas pencalonan sebelum ini, Hamidin dilihat calon hangat untuk menduduki kerusi itu selepas menerima 18 pencalonan daripada ahli gabungan berbanding Anuar yang menerima satu pencalonan dari Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur.

"Tolong jangan lagi (presiden) daripada kerabat diraja. Biarlah ia dikembalikan kepada orang biasa, seperti saya katakan tadi tokoh berkenaan haruslah dinamik dan memiliki latar belakang bola sepak yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 7:09 PM