Gimnasium
Gimnasium
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesyorkan pembukaan semula operasi gimnasium bagi memastikan kelangsungan industri sukan secara keseluruhan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok, untuk dipertimbangkan sebagaimana kelonggaran yang diberikan terhadap operasi panggung wayang.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun perlu melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Betapa kita (KBS) memikirkan, mengharapkan sokongan pihak lain untuk memungkinkan operator gimnasium di seluruh negara dapat bernafas, perniagaan mereka dibuka semula.

"Saya percaya jika boleh buka panggung wayang yang bukan satu keperluan tetapi tidak membenarkan pembukaan gimnasium, ramai yang mengatakan ia bukan keperluan namun hanya gaya hidup, bezanya panggung wayang dengan gimnasium adalah gimnasium begitu menitikberatkan kesihatan, sanitasi termasuk penggunaan kemudahannya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga dari kiri) mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga dari kiri) mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

"Saya yakin pihak berkaitan akan membuat keputusan yang tepat menepati kehendak dan keperluan rakyat. Saya tiada data berapa pemilik gimnasium yang ada seluruh negara, tetapi yang terkesan antaranya jurulatih sehingga tidak ada pendapatan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, hari ini.

Beliau berkata, tambahan pula, pihaknya turut menerima kunjungan ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing yang menyuarakan pandangan sama.

"Mereka juga ada pandangan yang sama kerana ahli sukan kalau tinggalkan latihan dalam masa yang panjang, apa yang mereka buat selama ini boleh jadi hilang," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ciapan menerusi Twitter, pagi tadi, memaklumkan KBS mencadangkan supaya sukan padang (outdoor sports) dan gimnasium dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 3:00 PM