AKSI  Djokovic membalas pukulan Coric di Vienna. FOTO ATP
AKSI Djokovic membalas pukulan Coric di Vienna. FOTO ATP
AFP

Vienna: Novak Djokovic semakin hampir menyamai rekod Pete Sampras yang menamatkan musim sebagai pemain nombor satu dunia sebanyak enam kali selepas mara ke suku akhir ATP Vienna, awal pagi tadi.

Djokovic menewaskan pemain Croatia, Borna Coric 7-6 (13/11), 6-3 dan akan mengesahkan kedudukan teratas jika Rafael Nadal tidak menyertai kejohanan di Sofia bulan depan.

Jika bintang Serbia berusia 33 tahun itu muncul juara di Vienna, dia akan mencapai impian tanpa mengira sama ada Nadal bermain atau tidak di Bulgaria.

Djokovic yang kini mempunyai rekod 39 kemenangan dan hanya dua kekalahan pada 2020 menduduki ranking teratas sebanyak lima kali: 2011, 2012, 2014, 2015 dan 2018.

Dia berkongsi pencapaian itu dengan musuh ketat, Roger Federer dan Nadal.

Sampras pula enam kali berturut-turut di antara 1993 dan 1998.

"Sampras adalah idola saya dan sudah pasti hebat jika dapat menyamai rekodnya sebagai pemain nombor satu dunia sebanyak enam kali," kata Djokovic kelmarin.

Djokovic turut menyasarkan satu lagi rekod - mengatasi catatan Federer yang menduduki ranking teratas paling lama iaitu 310 minggu.

Dia kini menikmati minggu ke-292 secara keseluruhannya sebagai pemain nombor satu dunia.

Jika kekal di posisi itu, Djokovic akan memintas Federer pada awal Mac 2021.

Djokovic pemenang gelaran Grand Slam 17 kali beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak tewas kepada Nadal di final Roland Garros dua minggu lalu.

Dia memburu gelaran kelima tahun ini dan akan berdepan pemain Poland, Hubert Hurkacz atau pemain Itali, Lorenzo Sonego di saingan suku akhir.

"Sangat memenatkan dan mencabar,'' kata Djokovic selepas tamat aksi menentang Coric, pemain nombor 24 dunia.

"Borna memiliki semangat juang tinggi dan dia sebenarnya kawan baik saya. Di luar gelanggang, kami sudah lama mengenali.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 1:04 PM