DJOKOVIC pada sidang media menjelang ATP Vienna. FOTO ATP
DJOKOVIC pada sidang media menjelang ATP Vienna. FOTO ATP
AFP

Vienna: Novak Djokovic mengatakan bahawa ia akan menjadi satu yang luar biasa apabila dapat menyamai rekod sepanjang masa idolanya di zaman kanak-kanak, Pete Sampras pada hujung tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia sebanyak enam kali.

Djokovic akan memastikan dia dapat menandingi rekod pemain handalan Amerika itu dengan memenangi dua perlawanan minggu ini di ATP Vienna.

Pemain Serbia berusia 33 tahun itu menduduki ranking pertama pada akhir musim sebanyak lima kali bermula 2011, 2012, 2014, 2015 dan 2018.

Dia kini berkongsi kejayaan itu dengan pesaing utamanya Roger Federer dan dan Rafael Nadal.

Manakala Sampras pulu berada di kemuncak sebanyak enam kali di antara 1993 dan 1998.

"Sampras adalah idola saya di zaman kecil dan saya membesar dengan pencapaian mengagumkan dan pasti ia satu yang menakjubkan dapat menyamai rekodnya dengan menjadi pemain nombor satu dunia sebanyak enam kali," kata Djokovic.

Djokovic turut mempunyai satu lagi sasaran iaitu mengatasi rekod Federer yang menjadi pemain nombor satu paling lama iaitu 310 minggu.

Isnin ini adalah minggu ke-292 Djokovic sebagai pemain nombor satu.

"Ia adalah sasaran untuk saya capai dan sesuatu yang sedang saya usahakan," kata Djokovic.

"Saya harap ia akan menjadi kenyataan pada Mac ini, kita lihat bagaimana nanti. Begitu banyak perkara yang tidak diduga boleh berlaku dan akan berubah minggu ke minggu."

Djokovic akan beraksi di Vienna buat pertama kali sejak dia memenangi gelaran di situ pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 12:45 PM