DJOKOVIC raih 900,289 undian. FOTO Agensi
DJOKOVIC raih 900,289 undian. FOTO Agensi
Agensi

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic bersyukur selepas dipilih pemain lelaki terhebat sepanjang zaman menerusi kajian Eurosport membabitkan hampir satu juta peminat tenis kelmarin.

Djokovic menewaskan pencabar lain dalam kumpulan Big Three iaitu Roger Federer dan Rafael Nadal selepas majoriti pengundi Eurosport menobatkan superstar Serbia itu pemain tenis terhebat sepanjang zaman dengan 900,289 undian.

Djokovic menduduki tempat ketiga dalam senarai pemegang rekod Grand Slam dengan 17 gelaran manakala Federer 20 gelaran dan Nadal kedua dengan 19 gelaran.

"Saya bersyukur selepas diberi penghormatan hampir sejuta orang menyertai kajian Eurosport dan majoriti mereka mengundi saya.

"Dan saya tak dapat berkata lebih daripada itu. Ia perdebatan sekian lama terutamanya di antara Federer, Nadal dan saya," kata Djokovic kepada Sport Klub.

"Ia mungkin berterusan pada dekad akan datang sehingga muncul pemain angkatan baharu yang lebih baik.

"Ia berlaku semula jadi dalam sukan dan baik untuk tenis. Ketiga-tiga kami adalah pemenang Grand Slam terbanyak dan sebagai pemain nombor satu dunia, ia adalah sejarah yang memberi kepuasan dan memotivasikan saya."

Bagaimanapun, pemain paling lama memegang gelaran nombor satu ialah Federer dan bekas pemain Amerika Syarikat, Pete Sampras di tangga kedua manakala Djokovic ketiga.

"Saya mahu memintas rekod Sampras dan Federer. Saya ada bercakap mengenainya sebelum ini. Ia salah satu misi terbesar saya dengan memenangi sebanyak mungkin Grand Slam tapi tidak mudah apabila Nadal dan Federer masih lagi berada pada prestasi terbaik," kata Djokovic.

Djokovic merampas takhta nombor satu awal tahun ini selepas menewaskan Dominic Thiem di Terbuka Australia untuk rekod kejuaraan kelapannya di Melbourne Park.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 12:42 PM