MURRAY juara tiga kali Shanghai Masters. - FOTO Agensi
MURRAY juara tiga kali Shanghai Masters. - FOTO Agensi
AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia, Andy Murray melonjak lebih 200 anak tangga dalam senarai terbaru ranking ATP hari ini manakala Novak Djokovic melebarkan jumlah mata ke atas Rafael Nadal di kelompok teratas.

Murray yang gigih memulihkan prestasi selepas menjalani pembedahan pangkal paha mara ke suku akhir Terbuka China tetapi tewas kepada juara, Dominic Thiem.

Pencapaian itu membolehkan pemain berusia 32 tahun dari Scotland itu melonjak 214 anak tangga dari kedudukan 503 dunia ke tangga 289.

Dia bakal berada di kedudukan 250 teratas selepas menewaskan Juan Ignacio Londero di pusingan pertama Shanghai Masters hari ini. Murray juga juara tiga kali kejohanan itu.

Kemenangan Djokovic di Tokyo kelmarin bermakna bintang Serbia itu kekal di puncak selama 271 minggu dalam kariernya, lebih satu daripada Ivan Lendl tetapi masih di belakang Roger Federer (310) dan Pete Sampras (286).

Djokovic turut bertanding di Shanghai sebagai juara bertahan manakala Nadal, pencabar terdekat dengan 1,140 mata menarik diri akibat kecederaan pergelangan tangan dialami pada Piala Laver bulan lalu.

Sementara itu, dalam kategori wanita, kemenangan Naomi Osaka ke atas pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty di Beijing kelmarin membolehkan pemain Jepun itu kembali ke kelompok tiga teratas dalam senarai terbaharu ranking WTA hari ini.

Kedudukan Naomi di tangga ketiga menolak Elina Svitolina yang beraksi pada suku akhir di Beijing ke tangga keempat manakala juara Terbuka AS, Bianca Andreescu yang tewas kepada Naomi minggu lalu melonjak ke tangga kelima di hadapan Simona Halep yang berada di tangga keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 10:05 PM