Aksi Novak Djokovic ketika berdepan Filip Krajinovic di Kejohanan Tenis ATP Terbuka Erste Bank di Vienna. FOTO AFP
Aksi Novak Djokovic ketika berdepan Filip Krajinovic di Kejohanan Tenis ATP Terbuka Erste Bank di Vienna. FOTO AFP
AFP

Vienna: Novak Djokovic menewaskan Filip Krajinovic pada pusingan pertama di Vienna untuk menghampiri rekod sepanjang zaman Pete Sampras dengan mengakhiri tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia dalam enam edisi berbeza.

Djokovic menewaskan rakan senegara Krajinovic 7-6 (8/6), 6-3 dan perlu memenangi perlawanan seterusnya di Austria berdepan Borna Coric untuk memastikan dia menyamai pencapaian idola zaman kanak-kanaknya itu.

Bintang Serbia berusia 33 tahun itu, berada di ranking teratas pemain pada penghujung musim lima kali iaitu pada 2011, 2012, 2014, 2015 dan 2018.

Dia bergilir-gilir pencapaian itu bersama seteru utama sukan itu, Roger Federer dan Rafael Nadal.

Sampras melakar kejayaan berada di ranking utama pemain itu antara 1993 dan 1998.

Djokovic beraksi di Vienna buat pertama kali sejak memenangi kejuaraan di situ pada 2007, dia meneruskan saingan selepas mencatat kemenangan ke-38 dalam 40 perlawanan tahun ini.

"Set pertama, saya fikir dia pemain yang lebih baik. Dia melakukan pukulan servis pada set pertama dan saya bernasib baik. Dia terlepas smash ketika 6/6 dalam tie-break," kata Djokovic.

"Beberapa mata sahaja akan mengubah momentum perlawanan. Dalam set kedua, saya bangkit memperbaiki permainan dan saya gembira dengan cara saya menamatkan perlawanan itu."

Juara gelaran Grand Slam 17 kali itu, tampil pada kejohanan pertamanya sejak kalah teruk kepada Nadal pada final di Roland Garros, dua minggu lalu.

Djokovic juga dalam cubaan mengatasi rekod sepanjang zaman terbaik Federer yang berada di kedudukan ranking teratas pemain dalam tempoh 310 minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 11:58 AM