BARISAN pemain skuad remaja sedia ada perlu dijaga dan diberi program tersusun.
BARISAN pemain skuad remaja sedia ada perlu dijaga dan diberi program tersusun.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Masih tiada rezeki untuk kita, tapi saya cukup yakin lambat laun rezeki itu akan datang juga."

Demikian rumusan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal yang reda dan menerima setiap kritikan berhubung prestasi pasukan hoki negara terutama skuad senior lelaki sepanjang 2023.

Apa tidaknya, tahun ini sememangnya agak suram untuk arena hoki negara terutama skuad senior lelaki yang gagal memenuhi sasaran untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, sekali gus kempunan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, di awal tahun, skuad Malaysian Tigers hanya menamatkan saingan Piala Dunia di Bhubaneswar-Rourkela, India di tempat ke-13 daripada 16 pasukan bertanding.

Kemudian pada Ogos lalu, skuad negara berpeluang untuk muncul juara Trofi Juara-Juara Asia buat kali pertama namun dikecewakan gergasi Asia, India pada aksi final di Chennai.

Di sebalik semua itu, Subahan kekal tenang dan percaya skuad negara terutama pasukan senior lelaki mampu mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari depan.

Bagaimanapun, pada masa sama beliau berharap peminat sukan hoki negara memahami untuk layak ke Olimpik tidak mudah, lebih-lebih lagi dengan kuota cukup terhad dan beliau sendiri sudah berulang kali mendesak supaya format kelayakan perlu diubah.

"Sebagai rakyat Malaysia apatah lagi saya yang memimpin sukan hoki hampir lapan tahun, memang saya tahu harapan tinggi daripada penyokong skuad negara.

PEMAIN skuad remaja mempunyai harapan cerah untuk masa depan  bagi Malaysian Tigers.
PEMAIN skuad remaja mempunyai harapan cerah untuk masa depan bagi Malaysian Tigers.

"Tapi format kelayakan ketika ini tidak seperti dahulu yang lebih mudah.

"Sukan Olimpik hanya membabitkan 12 pasukan dan selepas tolak juara benua yang layak secara automatik ke Olimpik serta tuan rumah, tinggal berapa saja kuota.

"Untuk kempen kelayakan pula, di situ akan ada pasukan gergasi, jadi ia semakin sukar. Saya sudah berulang kali beritahu kepada AHF (Persekutuan Hoki Asia) dan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) bahawa format kelayakan ini perlu diubah, tapi kalau saya seorang sahaja dari Asia yang bercakap tak guna juga kerana ia memerlukan sokongan sebulat suara.

"Apapun itu bukanlah alasan kerana saya tetap percaya kepada keupayaan Arul Selvaraj (ketua jurulatih skuad senior lelaki). Kalau ditakdirkan ada rezeki, kita akan layak ke Olimpik," katanya.

Mengulas mengenai skuad wanita pula, Subahan mengakui amat berpuas hati dengan pencapaian skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang berada di landasan tepat untuk memenangi pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, seperti mana sering diulangi badan induk itu sebelum ini.

"Kita dapat saksikan ramai pemain muda diserap ke dalam skuad sambil dipimpin beberapa barisan pemain senior dan mereka menimba pengalaman cukup berharga beraksi di pentas tertinggi termasuk di Sukan Asia (Hangzhou).

"Jurang perbezaan antara skuad negara dengan empat pasukan gergasi Asia iaitu Jepun, China, Korea Selatan dan India sudah tidak terlalu jauh. Tapi saya akui banyak lagi yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek fizikal, stamina dan sebagainya.

"Kita harus menerima hakikat fizikal barisan pemain negara tidak dapat menandingi pasukan Eropah, jadi kita perlu mencari formula untuk menangani perkara ini," katanya.

Mengenai skuad remaja lelaki yang baharu menamatkan kempen Piala Dunia Remaja di tempat ke-12 daripada 16 pasukan bertanding, Subahan mengakui ia bukanlah keputusan yang beliau harapkan daripada mereka.

Namun katanya, barisan pemain sedia ada perlu dijaga dan diberi program tersusun kerana kira-kira 10 daripada pemain itu masih layak untuk beraksi di Piala Dunia Remaja seterusnya.

"Saya lihat ada pemain yang layak untuk bermain dengan pasukan senior, tapi ada masih tak sampai tahap kami mahukan. Bukan mahu melemahkan semangat mereka, tetapi itu yang saya nampak.

"Perkara paling penting sekarang kami perlu mencari satu formula dan mereka perlu 'disimpan' kerana ada kira-kira 10 orang masih layak beraksi di Piala Dunia Remaja seterusnya.

"Tapi mungkin juga salah satu sebab (kegagalan di Piala Dunia Remaja) kerana program untuk mereka hanya setahun saja.

"Kami buat program setahun kerana tak cukup dana malah terpaksa menggunakan duit sendiri. Ia mungkin bukan Piala Dunia terbaik untuk Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya barisan pemain ini masih ada potensi," katanya.

Subahan yang kekal memimpin MHC bagi penggal ketiga dan terakhir sehingga 2027 berkata, beliau tidak akan pernah berputus asa untuk melihat pasukan negara terutama skuad senior lelaki layak ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 7:01 AM