SARJIT bersama Datuk Subahan Kamal pada Majlis Berbuka Puasa Barisan Kepimpinan Tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Pegawai MHC dan Rakan Media semalam.
SARJIT bersama Datuk Subahan Kamal pada Majlis Berbuka Puasa Barisan Kepimpinan Tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Pegawai MHC dan Rakan Media semalam.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih Speedy Tiger, Sarjit Singh sekali menegaskan beliau mahukan wajah baharu dalam skuad pimpinannya kali ini.

Beliau yang akan mengumumkan senarai 30 pemain untuk fasa kedua latihan esok berkata, daripada senarai itu hanya ada beberapa muka lama daripada skuad terdahulu dikekalkan.

Katanya, kesemua pemain menunjukkan komited yang tinggi untuk terpilih bersama skuad kebangsaan.

"Seperti saya katakan sebelum ini, skuad kali ini kebanyakan adalah pemain muda.

"Ada tiga atau empat pemain senior dari skuad sebelum ini. Mereka semua komited nak main untuk negara.

"Ini adalah peluang terbaik untuk kesemua pemain muda ini," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Barisan Kepimpinan Tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Pegawai MHC dan Rakan Media semalam.

Terdahulu MHC membubarkan pasukan senior dan remaja kebangsaan untuk membina semula pasukan baharu.

Ia susulan kegagalan kegagalan skuad lelaki senior untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila menamatkan saingan di tempat keenam.

Malaysia yang kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen di tempat kelima.

Manakala skuad lelaki remaja negara pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12.

Dalam perkembangan yang berlainan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan perlantikan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak sebagai pengurus pasukan skuad hoki lelaki kebangsaan bagi menggantikan Datuk Mirnawan Nawawi sebelum ini.

Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebagai individu paling layak untuk mengemudi skuad baharu Speedy Tigers dikendali Sarjit Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 1:50 PM