ARUL perlu menyerahkan laporan penuh prestasi skuad hoki negara sebelum Ahad ini. FOTO NSTP
ARUL perlu menyerahkan laporan penuh prestasi skuad hoki negara sebelum Ahad ini. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keputusan sama ada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan mengekalkan khidmat jurulatih skuad hoki senior negara, A Arul Selvaraj akan diketahui dalam tempoh sebulan lagi.

Keputusan itu akan diumumkan selepas mesyuarat kejurulatihan yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, Datuk Majid Manjit Abdullah bersidang.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal pada satu sidang media Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini turut memaklumkan pembubaran skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan. Pengumuman itu menyaksikan kesemua kontrak jurulatih akan dipertimbangkan semula selepas ia tamat hari ini.

"Selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan, saya memaklumkan bahawa pasukan kebangsaan senior dan junior dibubarkan.

"Kesemua pemain dibenarkan kembali beraksi bersama kelab masing-masing untuk saingan lagi untuk saingan Liga Hoki Malaysia (MHL).

"Kita akan bentuk semula pasukan baru selepas tamatnya saingan liga manakala kontrak jurulatih akan dibincangkan selepas jawatankuasa kejurulatihan bermesyuarat," katanya sidang media di hari ini.

Subahan berkata, beliau memberi kepercayaan penuh kepada jawatankuasa kejurulatihan untuk memutuskan keputusan berhubung pemilihan jurulatih baharu nanti.

"Sama ada ia jurulatih tempatan atau asing, saya serah sepenuhnya kepada jawatankuasa.

"Pengumuman jurulatih berkenaan mungkin akan dibuat dalam tempoh sebulan dan sebelum Mac ini kerana persiapan untuk persediaan Piala Sultan Azlan Shah perlu dilakukan," katanya.

Terdahulu, MHC kini menunggu laporan penuh prestasi selepas kegagalan skuad negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris dengan Arul perlu menyerahkannya sebelum Ahad ini.

Speedy Tigers sebelum ini terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.

Malaysia kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri di kedudukan kelima.

Skuad lelaki remaja negara pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 3:13 PM