SUBAHAN (kanan) pada sidang media bersama barisan pengerusi jawatankuasa kejurulatihan MHC di Bilik Mesyuarat MHC, Stadium HokI Nasional Bukit Jalil. FOTO HAZREEN MOHAMAD
SUBAHAN (kanan) pada sidang media bersama barisan pengerusi jawatankuasa kejurulatihan MHC di Bilik Mesyuarat MHC, Stadium HokI Nasional Bukit Jalil. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memohon agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mempertimbangkan supaya bantuan Institut Sukan Negara (ISN) tidak terhad kepada skuad senior lelaki sahaja.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ketika ini, hanya skuad senior lelaki negara yang menerima bantuan penuh daripada ISN manakala perbelanjaan pasukan lain seperti skuad remaja serta wanita ditanggung sendiri oleh MHC.

Justeru, Subahan berharap bantuan ISN itu turut diberikan dapat diberikan kepada pasukan hoki kebangsaan yang lain terutamanya skuad remaja lelaki yang kini dalam persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja hujung tahun ini.

"Dari segi bantuan kewangan dan sokongan, MSN (Majlis Sukan Negara) serta menteri banyak bantu kami. Apa yang saya perlukan sekarang adalah daripada ISN kerana kami terpaksa bayar perkhidmatan mereka dalam persiapan ke Piala Dunia.

"Kami perlukan bantuan seperti jurulatih fizikal, tukang urut serta pakar nutrisi. Apabila pergi ke luar negara, sekurang-kurangnya empat staf ISN dibawa dan kami perlu bayar RM250 seorang untuk sehari," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mempertikaikan mengapa MHC perlu mengeluarkan wang bagi membayar perkhidmatan ISN sedangkan pemain-pemain negara menggalas nama Malaysia dalam setiap kejohanan disertai.

Justeru, Subahan menjelaskan, MHC mengambil langkah mengimport jurulatih fizikal dari luar negara bagi melatih pemain-pemain memandangkan kosnya hampir sama dengan harga yang perlu dibayar kepada ISN.

"Apabila pergi ke kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia yang juga pentas dunia, mengapa kita perlu kena bayar? Kita bermain untuk negara, jadi saya mohon menteri kaji semula. Sepatutnya ISN bantu kita, jangan RTG (Road To Gold) sahaja.

"Sekarang kami sudah lantik jurulatih fizikal dari England dan Scotland untuk skuad senior dan remaja. Kami tidak boleh tunggu ISN kerana ia perlu dibayar, jadi lebih baik kami ambil khidmat dari luar negara dengan kos lebih kurang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 4:45 PM