PASUKAN Chile yang akan menentang skuad negara pada aksi pertama Piala Dunia Remaja mengadakan sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PASUKAN Chile yang akan menentang skuad negara pada aksi pertama Piala Dunia Remaja mengadakan sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara akan menguji India pada perlawanan persahabatan sebelum bermulanya aksi pertama Piala Dunia Remaja bertemu Chile, 5 Disember ini.

Pengurus pasukan negara, I Vikneswaran berkata, India dipilih kerana mereka mempunyai kekuatan dilihat hampir sama dengan pasukan gergasi lain termasuk Australia yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama dengan Young Tigers selain juara bertahan, Argentina.

"Kita tidak diletakkan satu kumpulan dengan India, sebab itulah kita mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka. Untuk menandingi lawan seperti Australia dan Argentina, India adalah pasukan terbaik yang boleh kita uji," katanya yang memaklumkan aksi persahabatan dengan India akan berlangsung 3 Disember ini.

Jelas Vikneswaran, India yang tampil pada Piala Dunia Remaja kali ini berbeza berbanding pasukan yang beraksi di Piala Sultan Johor, yang menyaksikan mereka menewaskan pasukan negara 3-1 ketika itu.

"Ketika di Piala Sultan Johor, sekurang-kurangnya lima atau enam orang pemain utama India tidak beraksi. Jadi sekarang ini mereka bawa barisan pemain terbaik.

"Ia juga menjadi aksi pemanas badan terbaik untuk skuad negara sebelum bertemu Chile pada perlawanan pertama," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Chile, Vikneswaran berkata, tidak banyak diketahui pasukan dari Amerika Selatan itu dengan kali terakhir skuad negara bertemu mereka ketika Piala Dunia Remaja 2021.

Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.

Selepas bertemu Chile pada aksi pertama, skuad negara akan berdepan ujian getir menentang Argentina pada 6 Disember dan kemudian menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Australia pada 8 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 6:02 PM