FARIS (kanan) pada majlis Majlis Pelancaran Logo Rasmi FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Putrajaya, semalam. FOTO AIZUDDIN SAAD
FARIS (kanan) pada majlis Majlis Pelancaran Logo Rasmi FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Putrajaya, semalam. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bermain di laman sendiri dijangka akan memberi kelebihan buat skuad hoki remaja negara menempuh cabaran di Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Kuala Lumpur, Disember ini.

Meraih emas di Sukan Sea Kemboja baru-baru ini, skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim itu bukan satu lagi pasukan yang mentah dan mereka dijangka mampu melakarkan kejutan.

Kapten Young Tigers, Muhamad Faris Harizan berkata, mereka kini sudah bersedia untuk menyahut cabaran getir biarpun diletakkan bersama-sama juara bertahan, Argentina dalam Kumpulan A di samping Australia dan Chile.

"Semua pemain sedar bagaimana tempo permainan di peringkat antarabangsa. Cara bermain dan bagaimana fizikal lawan, jadi kami perlu bersedia dari awal.

"Saya rasa, ketiga-tiga pasukan lawan dalam kumpulan A, cukup mencabar, tapi pasukan kita juga bukan biasa-biasa.

"Argentina sudah tentu bagus sebab mereka juara bertahan, Australia juga bukan calang-calang pasukan sebab kita pernah bertemu mereka tapi kita sudah kenal corak permainan kerana sering mengadakan perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Jadi tempoh beberapa bulan yang tinggal ini perlu diberi perhatian sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan yang dapat dilihat ketika Kejohanan Piala Remaja Asia yang lalu," katanya.

Faris turut yakin dengan pengalamannya dan dua lagi rakan, Alfarico Lanc Liau Jr (tengah) dan Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul (penyerang) yang berada dalam skuad Piala Dunia Remaja 2021 pasti dapat membantu skuad kali ini mencapai sasaran ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) iaitu ke separuh akhir.

Pada edisi terdahulu yang berlangsung di Bhubaneswar, India, menyaksikan skuad remaja negara menamatkan saingan di kedudukan kelapan.

Malaysia akan membuka kempen dengan bertemu Chile pada 5 Disember, lawan yang pernah ditemui negara dalam peringkat kumpulan pada edisi sebelum ini di Bhubaneswar, India 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 2:14 PM