PENGERUSI Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Hoki Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (duduk tiga kiri) bersama Muhamad Amin Rahim (duduk tiga kanan) bersama barisan pemain remaja kebangsaan pada sidang media   di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Hazreen Mohamad
PENGERUSI Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Hoki Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (duduk tiga kiri) bersama Muhamad Amin Rahim (duduk tiga kanan) bersama barisan pemain remaja kebangsaan pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Hazreen Mohamad
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhammad Amin Rahim percaya 20 pemain dipilih mampu menggalas cabaran dan memberi aksi terbaik dalam kejohanan hoki Piala Dunia Remaja Lelaki di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bermula 5 Disember depan.

Menurutnya, meskipun membariskan pemain muda, apa yang penting kemahiran serta kematangan individu di dalam perlawanan.

Selain itu, jelasnya, kehadiran dua pemain iaitu Muhammad Addy Jazmi Jamlus dan Muhammad Danish Danial Abdul Wahab yang tidak bersama ketika kempen Piala Sultan Johor (SOJC) 2023, baru-baru ini, akan menambah lagi kekuatan pasukan negara.

"Hoki sekarang bukan lagi mengenai usia, tetapi yang penting kualiti serta potensi pada seseorang pemain. Kenapa kita tidak ambil dia (Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari) yang paling muda jika dia berhak di dalam pasukan," katanya.

"Pada usia masih muda, dia akan bermain di Piala Dunia Remaja akan datang dan sudah tentu dia akan ada pengalaman yang lebih baik.

"Kembalinya dua pemain yang tidak bersama kita di SOJC 2023 bakal memberikan kelebihan buat pasukan dan membuka ruang pemilihan pemain untuk diturunkan di posisi tengah," katanya pada sidang media, hari ini.

Jelas Amin, setakat ini semua pemain bebas daripada kecederaan dan mereka dipilih berdasarkan beberapa kriteria agar mampu memberi saingan kepada lawan.

Katanya, mereka dipilih berdasarkan fizikal dan kemahiran individu serta memperbaiki segala kelemahan termasuk pukulan sudut penalti.

Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja kali ini dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.

Selepas bertemu Chile pada aksi pertama 5 Disember ini, skuad negara berdepan ujian getir menentang Argentina sehari selepas itu dan kemudian menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Australia pada 8 Disember.

Pencapaian terbaik Malaysia di pentas Piala Dunia Remaja adalah tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu edisi 1979 di Versailles, Perancis; 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 4:30 PM