ANIL  ketika sidang media Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Dunia 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
ANIL ketika sidang media Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Dunia 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiada bayaran tiket dikenakan kepada penyokong yang mahu menyaksikan perlawanan kejohanan hoki Piala Dunia Remaja Lelaki di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula 5 sehingga 16 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata, ia diputuskan oleh pihak atasan badan induk itu bagi menggalakkan lebih ramai peminat terutamanya penyokong skuad negara hadir menyaksikan perlawanan di stadium.

"Piala Dunia ini berlangsung di Malaysia, jadi kita sebagai rakyat Malaysia harus memberi sokongan dan dengan kemasukan secara percuma, ia menggalakkan orang ramai datang memenuhkan stadium," katanya pada sidang media hari ini.

Anil juga menegaskan tidak timbul sebarang kegusaran daripada pihaknya bahawa stadium tidak akan dipenuhi oleh penyokong.

"Saya yakin orang ramai akan datang kerana ini adalah Piala Dunia. Jadi secara peribadi, saya tidak berasa gusar," katanya.

Sementara itu Anil berkata, persiapan untuk kejohananan itu sudah mencapai 90 peratus dan pasukan yang bertanding sudah tiba secara berperingkat.

Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja kali ini dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.

Selepas bertemu Chile pada aksi pertama 5 Disember ini, skuad negara akan berdepan ujian getir menentang Argentina sehari selepas ini dan kemudian menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Australia pada 8 Disember.

Pencapaian terbaik Malaysia di pentas Piala Dunia Remaja adalah tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu edisi 1979 di Versailles, Perancis; 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 8:27 PM