BARISAN pemain THT akan bertemu TNB pada final Piala TNB malam esok. FOTO MHC
BARISAN pemain THT akan bertemu TNB pada final Piala TNB malam esok. FOTO MHC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) bakal memberikan insentif kepada pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) jika berjaya merangkul kejuaraan treble dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Presiden PHNT, Mohd Fikri Harun berkata, insentif berkenaan sebagai hadiah kepada pemain atas pengorbanan mereka jika berjaya memenangi trofi ketiga Piala TNB musim ini.

Sebelum ini skuad The Turtles yang dibimbing bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin berjaya menjulang Piala Sumbangsih dan trofi liga selepas menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 dalam kedua-dua saingan.

"Jika pemain berjaya membawa pulang Piala TNB malam esok, insentif daripada persatuan bakal menanti mereka sebagaimana yang sudah diberikan selepas menjulang Piala Sumbangsih dan trofi liga sebelum ini.

"Walaupun tidak begitu besar memandangkan pemain sudah ada komitmen dengan persatuan, tapi imbuhan itu sebagai hadiah atas pengorbanan mereka.

"Manakala insentif seterusnya daripada kerajaan negeri mungkin bakal menjelma jika mereka berjaya merangkul gelaran ketiga musim ini sekali gus sejarah buat THT kerana sebelum ini belum pernah melakar kemenangan hatrik," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mohd Fikri menuntut para pemain berjuang habis-habisan dalam pertemuan akhir dengan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam esok kerana sudah pasti pasukan lawan hadir untuk membalas dendam.

"Harapan sudah pasti mahu mengekalkan kejuaraan Piala TNB selain merangkul kejuaraan ketiga musim ini, tapi pemain perlu berwaspada tentangan TNB dalam pertemuan epik itu bagi mengelak THT terjerat," katanya.

Dalam pada itu sebanyak tiga buah bas yang membawa peminat setia skuad The Turtles itu bakal hadir ke Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 7:26 PM